“Nak Belajar, Dekatkan Diri Dengan Islam,” – Sajat Menangis, Sebak Mohon Maaf Sambil Ditenangkan Aliff Syukri

Share

Pengasas kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat akhirnya ada membuat permohonan maaf isu kontroversi melibatkan dirinya, di tanah suci baru-baru ini.

Difahamkan, keberangkatannya ke Makkah yang turut disertai ahli keluarga serta kenalan rapat adalah untuk menunaikan umrah.

Jelasnya sebagaimana yang dipetik menerusi rakaman video yang dimuat naik Aliff Syukri di Instagram, dia tidak mempunyai niat lain selain belajar, mendekati agama.

“Walau apapun, saya minta maaf pada semua jabatan-jabatan, pada semua mufti, ustaz, PU (Pencetus Umah) atau sesiapa sahaja ahli ulama…Saya minta maaf.

“Saya tiada tujuan apa-apa, saya hanya… Saya minta maaf bagi pihak mak ayah saya, bagi pihak anak saya, bagi pihak rakan-rakan saya, saya minta maaf,” katanya dalam nada sebak lalu ditenangkan Aliff Syukri.

“Tuhan lagi tahu yang mana betul, atau pun mana yang salah. Apa-apa hal pun kita ni orang yang kerdil, jumpalah dengan mufti sendiri. Biarlah mufti yang memutuskan dan berbincang.

“Tak kanlah kita di sini nak menghukum orang. Nampak gembira tapi Allah sahaja yang tahu ya dugaan orang yang dikecam.

“Kadang-kadang penghinaan itu melampau-lampau. Saya tidak menangkan sesiapa. Lebih baik dengar dulu apa kata tuan empunya badan,” kata Aliff pula.

Dalam pada itu itu, Sajat menerusi video berdurasi lebih empat minit itu turut mengakui dia tidak boleh mengulas lanjut mengenai hal tersebut secara terperinci bimbang andai dipersalahkan.

“Saya minta maaf sangat. Saya tak boleh cakap apa lagi. Lagi saya cakap, lagi saya disalahkan juga.

“Saya dulu memang kurang agama dalam Islam, lepas tu bila saya pergi sana saya cubalah dapatkan… Saya nak belajar, dekatkan diri dengan Islam. Saya dah banyak mencari harta duniawi.

“Bila saya nak mendekatkan diri dengan Allah… Kadang-kadang saya terfikir, bila saya jadi macam ni, apa yang mereka nak? Menghukum saya sampai macam ni, jelasnya lagi.

Sejak minggu lalu, kecoh apabila penyanyi Makhluk Penggoda itu memuat naik video serta gambar di tanah suci sambil memakai telekung.

Perbuatan tersebut menimbulkan rasa kurang senang ramai dan masing-masing cuba memberikan reaksi pelbagai terhadap kontroversi berkenaan di media sosial.

Sehingga kini, video berkenaan sudah pun ditonton lebih 700,000 kali disusuli dengan ribuan komen warga maya.

Ikuti rakaman video penuhnya di sini;

Foto: Instagram Aliff Syukri, Sajat

Published by
MH