Dinobatkan sebagai juara Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin atau nama penuhnya Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjudin, berazam untuk membawa kedua orang tuanya untuk menunaikan umrah hasil kejayaannya, malam tadi.
Apex yang juga protege Hazama ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas kemenangan sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, trofi dan sebuah motosikal Benelli RFS 150i.
“Duit kemenangan ini, saya akan hadiahkan kepada keluarga saya dan mertua menunaikan umrah.
“Saya juga memang sudah lama menyimpan niat itu dan bersyukur rezeki berpihak kepada diri saya,” katanya kepada MH di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad.
Bukan hanya pasang niat untuk membawa orang tersayang menunaikan umrah, anak kelahiran Terengganu ini juga nekad untuk mengubah kehidupan sekeluarga.
Malah, isterinya kini menjalankan perniagaan nasi lemak secara kecil-kecilan.
“Seperti sebelum ini, saya seorang buskers (penyanyi jalanan) dan isteri pula seorang peniaga nasi lemak.
“Jadi dengan hasil kemenagan ini, saya mahu ubah hidup dan keluarga untuk mengembangkan lagi perniagaan nasi lemak agar lebih maju ke depan dan lebih komersial.
“Perniagaan yang kami jalankan sekarang ini di depan rumah dengan hanya berbekalkan sebuah meja sahaja.
“Saya juga akan mencari rumah sendiri memandangkan sekarang masih tinggal bersama mertua,” kongsi bapa kepada seorang anak, Muhammad Danish Ar-Raziqin yang kini berusia enam bulan.
Terdahulu, penyanyi berusia 23 tahun ini menewaskan tiga protege lain iaitu Daus Husny selaku naib juara, Aedy Kama tempat ketiga dan Rika Riana ditempat keempat.
Program hiburan Mentor Millenia Akhir disiarkan secara langusung semalam. Tahniah buat semua pemenang!
Foto: Instagram TV3 Malaysia, Alya Syamira
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI