Zizi Kirana Tak Nafi Nak Istiqamah Benda Paling Susah Dilakukan, Banyak Benda Perlu Diambil Kira Sekarang

Share

Penyanyi Kirana memberikan reaksi selepas ditanya mengenai segelintir selebriti yang memilih untuk kembali membuka hijab sehingga mendapat reaksi pelbagai khasnya di media sosial.

Zizi, 37, atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil bagaimanapun tidak boleh  memberikan komen panjang lebar selain meminta semua mendoakan yang terbaik.

“Saya rasa kasihan kerana kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Kita tak tahu apakah dugaan yang dilalui sampai ada yang terpaksa buat keputusan sedemikian.

“Saya percaya, ia pasti satu keputusan yang berat. Tapi itulah saya nak komen lebih-lebih pun, tak pasti kalaulah ia juga terjadi kepada diri-sendiri, bagaimana nanti? Jadi lebih baik untuk kita mendoakan yang terbaik,” katanya kepada MH.

Ditanya mengenai sejauh mana dia mencari kekuatan untuk kekal istiqamah selepas tampil berhijab, penyanyi lagu Pijak ini akui perkara tersebut bukan sesuatu yang mudah.

“Sebenarnya nak istiqamah itu yang paling susah untuk dilakukan. Sebab itu saya ketika awal-awal pasang niat untuk bertudung ia dibuat secara perlahan-lahan. Bukan secara drastik.

“Misalnya saya pakai dulu ketika di bulan Ramadan. Kiranya saya praktis supaya ia tidak terlalu mengejut untuk diri sendiri.

“Macam sekarang apa-apa persalinan yang akan saya pakai pun, akan tengok dulu sama ada ia bersesuaian atau sebaliknya.

“Dari segi kerjaya pun sama. Bila buat persembahan kena tengok penampilan. Banyak benda yang perlu diambil kira. Berbeza berbanding dulu,” katanya lagi.

Zizi pada masa sama tidak meletakkan pujian ramai terhadap penampilan yang sopan menjadi asbab utama mengenakan tudung.

“Saya tidak pernah terdetik pun rasa rindu (penampilan lama). Saya nekad, memang terus berdoa untuk kekal penampilan sekarang. Cuma bagi saya jangan sebab kita nak berhijrah kerana orang lain.

“Jangan sesekali bila orang puji ‘cantiklah pakai tudung’ terus rasa nak bertudung semata-mata terima pujian. Jangan begitu. Lebih baik ambil ia sebagai semangat. Ambilnya daripada sisi yang baik untuk bawa kita hijrah atau berubah.

“Selepas itu ikutlah momentum sendiri. Terpulang juga kepada diri masing-masing. Kalau saya sendiri, buat secara perlahan-lahan,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH