Hajat Di Hati Nak Sertai Polis Macam Kakak Sulung, Tapi Ibu DJ Lin Tak Kasi – “Dia Nak Saya Jadi Ustazah Atau Pensyarah.”

Share

Penyampai radio popular, Dj Lin berkongsi pelbagai cerita perihal penglibatannya di dalam dunia radio menerusi program YouTube #MHLIFESTYLE Media Hiburan, baru-baru ini.

Menurut Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, sejujurnya dia tidak pernah memasang impian atau bercita-cita menjadi penyampai radio sebagaimana sekarang.

Dedah Lin, dia sebelum ini pernah berangan untuk menjadi anggota badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, hasratnya tidak kesampaian apabila mendapat tentangan daripada ibunya.

“Sebenarnya cita-cita saya untuk menjadi pegawai polis sebab arwah bapa saya askar British. Saya anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik.

“Kakak saya yang sulung merupakan seorang sarjan polis. Jadi persekitaran itu yang membuatkan saya ingin menjadi seorang anggota polis, daripada kecil lagi.

“Tapi mak saya tak bagi, dia nak saya jadi ustazah atau pun pensyarah, cikgu dalam bidang perguruan misalnya,” kata Lin.

Sejurus tamat pengajian di sekolah, Lin menyambung pelajarannya di Universiti Teknologi Malaysia yang dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) pada ketika itu.

“Itu yang lepas ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sambung pula Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kemudian menjadi guru sandaran setahun dan seterusnya mohon pengajian dalam bidang Komunikasi Massa (Masscom).

“Sebab dulu, mereka kata kalau nak masuk jadi anggota polis kena ambil jurusan itu. Pada ketika itu, saya difahamkan begitu jadi saya pun mohon jurusan itu sekali dapat.

“Kemudian, saya mula jadi pelajar di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam pada bulan Disember 1996 sehingga Januari 1999,” katanya lagi.

Setelah melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut, dia mula berjinak-jinak melibatkan diri dalam dunia penyiaran radio sehingga kini.

Kongsinya, perjalanan karier untuk menjadi seorang penyampai radio bukan satu perkara mudah dan perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Ikuti pelbagai lagi kisah menarik yang dikongsikan Dj Lin menerusi pautan video ini;

Foto: Instagram Dj Lin

Published by
Nazar Rafiqhi