Penyanyi, Aina Abdul tetap gembira dengan pencapaiannya di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) meskipun tidak dinobatkan selaku juara.
Menurut Aina, kejayaan meraih tempat ketiga, anugerah Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa sememang pencapaian yang patut dibanggakan.
“AJL adalah satu pentas untuk meraikan pengkarya muzik. Malah, saya rasa ini adalah AJL yang paling akan saya ingati sampai bila-bila.
“Pada tahun ini, kita dapat penyertaan lagu-lagu daripada pelbagai genre. Ia sesuatu yang perlu kita raikan untuk industri muzik Malaysia.
“Untuk mengatakan saya sedih sebab dapat tempat ketiga, itu maksudnya saya tidak bersyukur dan bertentangan dengan tujuan saya menulis lagu,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Aina turut tumpang gembira dengan dengan kejayaan lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari yang dinobatkan selaku juara AJL38.
“Saya suka dengan setiap lagu yang bertanding di AJL38. Semua lagu ini punyai kehebatan masing-masing. Lagu-lagu ini tidak sepatutnya dipertandingkan. Air lagu-lagu ini juga berbeza.
“Sesiapa sahaja yang dinobatkan selaku juara, kita sepatutnya kena gembira.
“Secara peribadi, saya memang sukakan lagu Hasrat. Walaupun saya menyanyi lagu balada dan bernada tinggi, jiwa saya sebenarnya amat sukakan lagu seperti ciptaan Amir.
“Saya juga datang dari latar belakang sebegitu. Saya mula menulis lagu pun dengan gitar,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Aina turut merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh pasukannya yang menjayakan persembanahan pada malam tadi.
“Kejayaan ini bukan untuk saya seorang sahaja. Di sebalik Aina Abdul ini, ada hampir 80 orang malam ini untuk persiapan saya. Selain untuk peminat, kemenangan ini juga untuk team Jangan Mati Rasa itu.
“Terima kasih juga kepada pihak TV3 yang banyak beri saya ruang dan peluang untuk berkarya.
“Malah, team AJL juga tak jemu-jemu bagi saya semangat untuk buat apa yang saya suka buat setiap tahun.
“Kalau kita ada semangat jitu dan karya yang ingin dipertaruhkan tapi tak dapat sokongan daripada pihak-pihak ini pun, susah juga nak berkarya,” akhirinya.
Terdahulu, kemenangan bagi ketiga-tiga kategori itu membolehkan Aina membawa pulang wang tunai terkumpul sebanyak RM54,000.
Persembahan Aina yang bertemakan ‘tree of life’ di AJL38 nyata memukau banyak pihak lebih-lebih lagi dengan gimik menyanyi sambil tergantung.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI