Ruhainies mengambil pendirian untuk tidak mahu terlalu terbuka lagi di dalam memberikan ulasan atau komen berkaitan hal peribadi, lebih-lebih lagi melibatkan soal teman lelaki.
Katanya kepada MH, ia dirasakan pendekatan terbaik untuk kurang bercakap mengenainya, bimbang andai berita yang keluar di media selepas ini akan disalah erti.
Terdahulu, bintang Jejak Karmila ini menjadi perhatian ramai selepas mengumumkan telah menjalin hubungan cinta bersama seorang lelaki jejaka yang dikenali sebagai Mr E, tahun lalu.
Sejak itu, kisah percintaan pelakon berusia 27 tahun ini kerap dikongsikan hingga menyebabkan ramai memberi persepsi bahawa Ruhainies seakan-akan tiada naskhah seni untuk diceritakan.
“Nak kurangkan bercakap fasal hal berkaitan dengan privasi. Bukannya rimas, cuma kalau boleh saya lebih selesa untuk berkongsi perihal kerjaya dengan lebih banyak.
“Kalau boleh saya nak elakkanlah (bercakap isu cinta semata) sebabnya netizen akan bercakap macam-macam. Saya perasan akan hal itu,” katanya jujur.
Ruhainies atau nama lengkapnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas bagaimanapun lebih gemar untuk tidak terlalu pandang enteng mengenai komen-komen ‘haters’ yang dirasakan melampau.
“Bagi saya kalau komen-komen yang tidak berasas, saya tidaklah layankan sangat. Akan tetapi kalau saya fikirkan balik, kebanyakan berita yang keluar adalah mengenai kisah cinta.
“Jadi apa yang boleh saya buat? Bila pihak media tanya, saya akan cuba untuk jawab sebaiknya.
“Lalu bila keluar berita sedemikian, ada yang ingat kita ni pergi cari wartawan untuk bercakap mengenai teman lelaki.
“Rasanya tak akan ada orang akan berbuat demikian,” kata Ruhainies yang turut bersaing dalam program All Stars Buka Panggung, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, adik kepada Nur Risteena ini baru selesai sebuah telemovie bertajuk Ustaz Rock untuk siaran RTM dan bakal ke set penggambaran untuk sebuah lagi telemovie yang akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi.
Foto: Instagram Ruhainies