Berita

“Nak Lihat Kaabah Bakal Tercapai, Allah Dah Jawab Doa Saya,” – Ibu Tunggal Sebak Terima Rezeki Pakej Umrah RM24,180

Share

Video seorang ibu tunggal yang sebak selepas memenangi pakej menunaikan ibadah Umrah tular di laman sosial dengan lebih 1 juta tontonan.

Rata-rata warganet turut sama terharu melihat keinginan wanita itu untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah dimakbulkan selepas memenangi peraduan Imbas dan Menang jenama baju Melayu popular, Bulan Bintang.

Muhammad Akmal Firdaus Hushaimi, 23, yang memuat naik video berkenaan menerusi TikTok terharu apabila ibunya Norharizan Uda Osman, 49, memenangi peraduan terbabit.

“Mak memang sudah lama teringin nak ke Tanah Suci menunaikan umrah. Alhamdulillah, Allah kabulkan dengan menang peraduan Imbas dan Menang Bulan Bintang.

“Doa ibu memang tak nafi keberkatannya. Mak teringin nak pergi Tanah Suci, lepas tekan tebus, Alhamdulillah impian mak tercapai.

“Mak memang tak sangka dan sampai sekarang masih tak percaya yang dia menang umrah. Memang itu impian dia dan terima kasih banyak banyak untuk pengasas Bulan Bintang kerana merealisasikan impian mak,” katanya, lapor Harian Metro.

Susulan video tular itu, pengasas jenama terbabit, Azzim Zahid Azmi atau Meri turun padang sendiri bertemu ibu tunggal terbabit di Ipoh, Perak.

Difahamkan, ibu tunggal itu sudah tiga tahun menanam impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

@meripergibulat Rezeki tak pernah salah alamat. Tahniah lagi sekali kak, jangan lupa doakan Bulan Bintang ye 🫶🏼 #bulanbintang ♬ original sound – meri yang busy

“Saya beli tiga pasang baju Melayu untuk tiga orang anak teruna saya. Pada mulanya, anak saya mahukan PS5 jika ada rezeki memenangi peraduan ini. Pada saya, jika ada rezeki, Insya-Allah.

“Cubaan pertama untuk anak sulung, kami tidak memenangi sebarang hadiah dan untuk anak kedua pula, kami memenangi baucer.

“Bagi percubaan terakhir, anak-anak mahukan saya sendiri yang menekan telefon pintar. Saya hanya bertawakal dan tak sangka saya memenangi pakej Umrah. Syukur Alhamdulillah.

“Saya dah tiga tahun tanam impian, tak sangka bila beli baju Melayu Bulan Bintang untuk anak-anak, ini yang saya dapat. Bagi kami yang kurang kemampuan, inilah rezekinya.

“Saya memang terharu kerana tak sangka, rezeki saya nak tunai Umrah, nak melihat Kaabah bakal tercapai, Alhamdulillah. Allah dah jawab doa saya,” katanya di dalam video di TikTok.

Malah, dia juga tidak menyangka rezeki kali pertama berbelanja baju sedondon untuk anak-anak menjadi punca rezeki untuk dirinya menunaikan ibadah terbabit.

Norharizan memenangi pakej Umrah untuk dua orang dan ia bernilai RM12,090 untuk setiap seorang.

Menerusi kempen Terrrrpaling Raya, Bulan Bintang menawarkan hadiah bernilai lebih RM3 juta untuk semua pelanggan tahun ini.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah 10 Perodua Myvi dan Bezza, iPhone 15, emas 999, pakej umrah dan banyak lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH