Berita

“Nak Lunas Apa Yang Tertunggak,” – Gie Hamid Cakap Jujur, Wang Kemenangan RM30,000 Untuk Bayar Hutang

Share

Juara program realiti Kilauan Emas 2024, Gie Hamid mahu menggunakan wang tunai kemenangannya sebanyak RM30,000 untuk melangsaikan segala hutang.

Menurut Gie, 47, yang juga pejuang kanser, dia hanya berkata jujur apabila ditanya mengenai apa yang ingin dilakukan terhadap hadiah yang diterima sejurus diumumkan sebagai pemenang.

Selain wang tunai, peserta dari Mersing, Johor, itu turut membawa pulang pakej umrah sumbangan Khadim Ummah Holidays, pakej penginapan percutian sumbangan Avillion Port Dickson dan trofi sumbangan Astro.

“Memang saya berniat untuk melunaskan apa yang tertunggak. Sebab saya sakit pun lama, suami ketika itu pula tidak bekerja.

“Jadi bila ada rezeki menang wang tunai, orang kata bolehlah membantu sedikit-sebanyak.

“Pada saya benda macam ini kalau ada rezeki, kalau boleh perlu dilunas, jangan ‘digantungkan’,” katanya.

Gie pada masa sama mahu menyelesaikan hutang bagi membolehkan urusannya untuk berangkat ke umrah dipermudahkan selepas ini.

“Barulah kita boleh buat umrah dengan tenang selepas ini. Pergi umrah tapi hati tak tenang sebab berhutang, bagaimana.

“Kita berdoa dekat sana, tapi ada yang di sini mengata kita sebab tak bayar hutang. Jadi kalau boleh memang nak selesaikan itu terlebih dulu.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku di masa hadapan atau dalam perjalanan (waktu tunai umrah). Itulah niat saya,” katanya lagi.

Terdahulu, persembahan konsisten Gie menerusi dua segmen saingan persembahan memberi tuah kepadanya apabila muncul sebagai juara wanita pertama bagi rancangan berkenaan selepas enam musim penganjuran.

Tempat kedua dimenangi Tuan Sidi sementara Ina terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Malam kemuncak Kilauan Emas 2024, Sabtu lalu telah dinilai oleh juri tetapnya, Datuk Hattan dan Erra Fazira, manakala Edry Abdul Halim sekali lagi bertindak sebagai juri jemputan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH