“Nak Mandi & Siapkan Anak Sekolah, Saya Selalu Pasang Sebab Nak Rasa Dia Ada,” – Shuib Ulas Stesen Radio Putar Lagu Siti Sarah

Share

Pelawak dan penyampai radio, Shuib mengakui emosinya sedikit pun tidak terganggu sekirinya lagu arwah isterinya yang juga merupakan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah dimainkan di konti radio ketika dia sedang bekerja.

Menurut Shuib, perkara tersebut bukanlah satu masalah kerana dia juga akan memainkan lagu dendangan Siti Sarah pada setiap hari lebih-lebih lagi ketika ingin menyiapkan anak-anak ke sekolah.

Katanya lagi, dia berbuat sedemikian kerana mahu merasakan dirinya sentiasa dekat dengan orang paling disayanginya itu.

“Saya tak kisah pun sebab hari-hari saya masih dengar. Pagi-pagi kalau nak mandikan dan siapkan anak ke sekolah, mesti saya akan pasang lagu arwah.

“Saya buka lagu arwah sebab saya nak rasa dia sentiasa ada dengan saya. Lagi pun saya selalu rasa dia dekat dengan saya. Tak pernah jauh,” katanya kepada MH.

Tambah bapa kepada empat orang cahaya mata ini lagi, bagi mengubati kerinduan terhadap arwah isterinya itu, lagu Tinggalkan Diriku sememangnya menjadi lagu yang paling disukainya ketika ini.

“Saya suka dengar lagu Tinggalkan Diriku versi pertama kali dirakam. Bila saya dengar, saya akan tersenyum sendiri.

“Saya dengar versi itu sebab ketika itu, dia masih lagi anak dara, belum kahwin dan masih budak kecil. Saya dapat bayangkan betama comelnya dia ketika itu. Memang seronok bila dengar,” kongsinya lagi.

Beberapa hari lalu, rakan gandingannya di stesen radio Suria FM, Ajak ada berkongsi reaksi Shuib sewaktu lagu arwah isterinya dimainkan ketika mereka sedang mengemudi segmen pagi, Morning Morning Suria.

Video berkenaan nyata mengundang rasa sayu di hati para netizen.

Pada pagi itu, mereka sebenarnya sedang membincangkan mengenai topik isteri hamil yang mengidam.

Pada masa sama, Shuib turut sempat memberikan nasihat buat para suami agar sentiasa berusaha untuk memenuhi keinginan isteri.

Terdahulu, Shuib dan Allahyarham Siti Sarah telah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Bagaimanapun, Shuib diduga apabila isteri tercinta meninggal dunia pada tanggal 9 Ogos 2021 akibat Covid-19 selepas melahirkan cahaya mata bongsunya, Ayash Affan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Shuib

Published by
Aizam Manaf