Penyanyi Shiha Zikir bersyukur selepas namanya diumumkan sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) menerusi lagu Irama malam tadi, membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.
Tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya, Shiha mendedahkan konsep pancaran cahaya laser, warna-warna neon serta ‘glow in the dark’ yang dibawa itu menelan kos lebih RM100,000 untuk direalisasikan.
“Alhamdulillah…. Kalau sebut mengenai undian, memang saya tak jangka. Tapi apabila bercakap soal persembahan, saya percayakan team saya dengan idea dan konsep serta pelaksanaan persembahan sehingga apa yang ingin dilakukan terhadap Irama menjadi kenyataan.
“Saya berhabis lebih RM100,000 dan elemen yang paling mahal dalam persembahan adalah lampu laser. Syarikat saya, Shiha Zikir Empire, Todak Music dan Alternate Record saling bahagikan kos ini.
“Meski pasti ada yang anggap pelaburan lebih RM100,000 tak setimpal dengan hadiah kemenangan bernilai RM12,000, tapi saya rasa puas kerana ini adalah minat, apatah lagi membuat persembahan di Axiata Arena adalah sesuatu yang saya impi-impikan” katanya.
Mengulas mengenai pertikinaian sesetengah peminat yang berpendapat persembahan ‘terbalik’ Naim Daniel menerusi lagu Mainan lebih layak diangkat sebagai Persembahan Terbaik, penyanyi lagu AEWO memilih untuk bersikap positif.
“Saya sendiri kagum dengan persembahan Naim. Sewaktu dia praktis ketika sesi latihan, saya cakap, gempaknya persembahan dia! Nak menyanyi sambil terbalik bukan mudah, lebih-lebih lagi menyampaikan lagu balada.
“Saya tak nak komen mengenai kata-kata negatif yang mempersoalkan kemenangan Irama. Saya faham masing-masing ada pendapat tersendiri, tak semua orang ada pemikiran yang sama.
“Dalam pendapat saya sendiri, jika masuk bertanding, pastinya semua orang nak menang. Jika saya masuk pun, sudah tentu saya mahukan kemenangan.
“Tapi sebelum ini, saya sudah sertai banyak program berbentuk pertandingan, jika ada orang lain menang, saya tidak akan menyalahkan sesiapa jika saya kalah. Ia dinilaikan oleh mereka yang arif dan berpengalaman,” katanya.
Shiha pada masa sama turut berharap agar semua pihak mempecayai ketentuan rezeki individu.
“Saya berharap kepada mereka yang mempertikaikan, kena ada kepercayaan kepada juri dan keputusan yang telah ditetapkan. Sudah tentu juri lebih arif dan profesional.
“Saya sendiri tak layak komen mengenai kemenangan kerana juri sahaja yang tahu sebab mereka memilih pemenang.
“Jika bercakap mengenai undian, lagilah saya tak yakin saya boleh menang. Sekiranya ia melibatkan undian, ramai lagi artis lain mempunyai sokongan peminat yang kuat. Jadi, apa yang saya boleh buat adalah percaya kepada rezeki.
“Orang yang mengundi pun boleh nampak usaha yang diletakkan dan mereka yang mengundi mesti tahu mengenai persembahan.
“Saya tak cakap persembahan saya sahaja yang bagus, pastinya semua peserta pun dah buat sehabis baik, lebih-lebih lagi Naim, pertama kali saya lihat ada penyanyi menyanyi terbalik. Apa pun ia berbalik kepada rezeki,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.