Pelakon Syafiq Kyle positif dengan menyifatkan rakan artis, Aedy Asyraf layak untuk memenangi trofi Aktor Filem Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36, baru-baru ini.
Walaupun ada peminat yang meramalkan anugerah tersebut bakal disandang oleh Syafiq, namun pelakon filem Takluk: Lahad Datu ini sudah pun bersyukur apabila namanya sudah tercalon sebagai ‘top 5’ bagi kategori berkenaan.
“Pada saya, ini soal rezeki. Setiap pertandingan di Malaysia ini, yang masuk pun kawan-kawan kita sendiri. Soal aktif atau tidak, itu rezeki.
“Rezeki saya juga dapat berlakon dalam tiga filem tahun ini. Saya tiada kuasa untuk menentukan keputusan setiap anugerah.
“Yang boleh kita kawal hanyalah pandangan kita terhadap majlis anugerah berkenaan. Kita boleh beri sokongan dan galakan,” katanya kepada MH.
Syafiq berkata sedemikian ketika ditemui di set penggambaran drama One Cent Thief 2 di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Syafiq tidak bersetuju dengan pandangan yang merasakan kemenangannya di ABP36 seakan dirampas.
“Mungkin netizen kata ia seperti dirampas tapi saya tidak rasa sebegitu. Nak rampas apa? Saya tak pernah menang pun.
“Tercalon dalam top 5 bersama nama-nama hebat pun saya sudah rasa cukup bertuah. Kalah atau menang, kita hanya nak maraikan orang-orang seni ini,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Syafiq turut mendedahkan dia ada berhubung dengan Aedy selepas kemenangannya malam tadi.
“Saya gembira untuk pihak Aedy dan dia juga sudah terlibat dalam industri ini lebih 20 tahun. Anugerah itu memang layak untuk Aedy.
“Semalam, saya ada menghubungi Aedy. Dia gembira dengan kejayaan itu dan saya tumpang gembira juga bagi pihak dia,” katanya.
Selain itu, Syafiq turut menegaskan bahawa penghasilan naskhah yang bermutu lebih penting berbanding penganugerah yang diterima kerana karya itu akan lebih diingati ramai.
“Kalah atau menang, industri kita akan tetap bergerak ke hadapan. Itu yang kita mahukan. Ia persaingan yang sihat.
“Anugerah ini merupakan satu perkara subjektif. Penghargaan mulut juga satu anugerah. Orang tawar kita filem best juga satu anugerah.
“Saya lebih melihat ke arah itu berbading trofi. Trofi ini hanya lambang sahaja yang penting adalah ukhwah bekerjasama.
“Jika menang tapi kita tak memberi sumbangan dalam industri pun sama juga. Industri tak berkembang,” akhirinya.
Terdahulu, Aedy berjaya menafikan empat persaing terdekat iaitu Syafiq Kyle, Kamal Adli, Bella Ngasri dan Pekin Ibrahim bagi kategori Aktor Filem Popular ABP36.
Selepas kemenangan tersebut, rata-rata menyuarakan tidak berpuas hati dengan kejayaan Aedy dan berharap Syafiq lebih layak menduduki kerusi pemenang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini