Berita

“Nak Segan Kau Ada Apa?” – Alina Hassan Paling Senior ‘Top100 OIAM’ Pada Usia 57 Tahun, Tak Kisah Bermula Dari Bawah

Share

Penyanyi Alina Hassan mengakui dia tidak kisah sekiranya perlu bermula dari bawah untuk kembali memeriahkan industri seni, meskipun pernah bergelar Juara Passport Kegemilangan 1996 sebelum ini.

Alina, 57, yang juga pemenang tempat ketiga program realiti, Mentor Otai di samping Allahyarham Siti Sarah berkata, dia juga tak malu untuk mengikuti mana-mana uji bakat nyanyian secara terbuka.

“Kau nak segan kau ada apa? Nak malu apa? Kalau setakat bergelar juara Sinaran Passport, tak payahlah. Kita jadi diri sendiri saja.

“Saya hanya buat perkara yang saya suka dan yakin boleh lakukan. Saya pernah bergelar penyanyi dan ada yang kenal dulu, cuma kemudian nasib tidak berapa baik.

“Jadi saya kembali kerja macam biasa. Misalnya saya pernah buat persembahan busking, kerja membersih, jadi pengawal keselamatan, ‘personal shopper’ dan sebagainya.

“Jadi saya tiada masala untuk kembali sertai program berbentuk pertandingan. Yang penting kalau ada rezeki, jalan terus,” katanya yang kini kerap melakukan ‘busking’ di sebuah kafe selain turut menjana pendapatan menerusi TikTok.

Ditanya mengenai harapan apabila terpilih sebagai 100 peserta teratas One In A Million (OIAM) musim terbaharu, penyanyi lagu Dingin ini percaya kepada rezeki.

Malah semangatnya juga berkobar apabila menerima maklum balas baik warganet sejurus video sedutan sesi uji bakatnya tular di media sosial, bulan lalu.

“Bila tengok kepada hadiah yang ditawarkan, kita pun sama teruja untuk cuba nasib. Cuma tujuan sebenar saya ialah untuk cabar diri.

“Tambahan lagi bila saya difahamkan tiada had umur untuk serta sesi uji bakat, mengapa tidak untuk saya cuba? Ada lagi tak orang yang nak dengar suara ‘makcik’ ni kan?

“Jadi saya pun hadiri sesi uji bakat di Shah Alam dan alhamdulillah saya terpilih dan video persembahan saya ketika itu pun jadi tular.

“Bersyukur sebenarnya bila baca kata semangat dan doa dari warganet, Allahuakbar. Kebanyakannya saya baca dan aminkan,” katanya lagi.

Terdahulu, barisan 100 peserta OIAM sudah pun diperkenalkan dan musim kali ini menampilkan Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan sebagai juri tetap.

Juara OIAM 2024 akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT dan kontrak rakaman yang kesemuanya berjumlah RM1 juta.

Program itu akan bersiaran di TV3 bermula 22 Disember depan dan untuk rekod, tiga edisi OIAM sebelum ini menobatkan Suki Low, Ayu Damit dan Tomok sebagai juara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH