Berita

“Nak Tak Nak, Suami Kena Dengar Cakap Isteri. Aku tak peduli,” – Lebih Dominan? Ini Ulas Kak KM

Share

Usahawan sensasi dan personaliti media sosial, Liana Rosli yang mesra disapa Kak KM bersyukur kerana  bahtera perkahwinannya yang dibina bersama suami, Razman Ramli kini sudah lebih dua dekad.

Memberikan pendapat mengenai situasi isteri lebih dominan dalam perkahwinan, Kak KM berkata, kesabaran menjadi aspek paling penting di dalam menjamin keharmonian di dalam rumah tangga.

“Saya bersyukur sebab usia perkahwinan kami kini sudah 22 tahun. Saya anggap ini rezeki, alhamdulillah. Jadi bagi saya dalam sesebuah hubungan itu, yang paling penting kita kena ada rasa sabar.

“Nak tak nak, saya berpendapat suami memang kena dengar cakap isteri. Aku tak peduli.

“Bila orang tanya macam mana kami menjaga 22 tahun kehidupan di dalam perkahwinan, ia bukan satu hal yang senang.

“Tempoh lima tahun berkahwin, ada dugaannya. 10 tahun pun ada dugaan tersendiri, begitu juga bila perkahwinan berusia 15 tahun.

“Jadi sekarang kita sudah lepas fasa tersebut. Kuncinya, abang Maman (suami), dengar cakap saya. Ada yang kata saya pun pernah marahkan suami sebelum ini.

“Itu dua tahun lepas punya cerita. Lebih dua dekad kami bersama, hanya itu sekali situasi tersebut berlaku.

“Tipulah kalau saya cakap sepanjang masa hubungan kami baik, ada pasang surutnya. Kita ada juga juga gaduh dan tidak puas hati dalam hal tertentu.

“Saya ini isteri. Jadi sayalah yang memasak, jaga anak, basuh baju dan sebagainya. Macam orang gaji. Jadi tak kan tak boleh kalau saya nak ada perasaan marah?” katanya.

Mengulas lanjut, Kak KM menjelaskan situasi suami kena dengar cakap isteri itu adalah lebih kepada soal berkaitan perhatian si suami terhadap seorang isteri.

“Macam contoh kita nak pergi ke pasar, dia kena ikut meski pada awalnya suami ada hal atau nak ke tempat lain.

“Kawan nombor dulu, dahulukan permintaan bini. Sebab dialah isteri, orang rumah. Sebab saya percaya tak ada isteri yang nak ajar suami perkara yang bukan-bukan,” katanya lagi.

Kak KM yang juga anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadi rakan pengasas, CheTa Pot Pet yang ke-37, Ahad lalu di ibu negara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH