“Nak Tegas Boleh Bukan Jerit Pekik,” – Peserta Pun Ada Air Muka, Elly Mazlein Tak Setuju Cara Penjurian Yang ‘Keras’

Share

“Juri memang harus tegas, tapi biarlah bertempat.”

Demikian pendirian selebriti popular Elly Mazlein apabila ditanya pendapatnya mengenai gaya kritikan atau penilaian yang dilakukan segelintir juri, lebih-lebih lagi menerusi program hiburan yang disiarkan secara langsung.

Elly, 42, berkata meski percaya setiap juri ada pengalaman baik selain mempunyai cara tersendiri di dalam melontarkan komen, namun ia seharusnya dilakukan secara berhemah tanpa mengguris hati mana-mana pihak.

“Pada saya, istilah teguran kerana sayang tidak semestinya dengan tengking atau meninggikan suara. Kalau sayang atau rasa nak marah, biarlah ia dilakukan secara belakang kamera.

“Sebab apa, bila ia dilakukan di hadapan kamera… sebenarnya kita sebagai juri, kita bukan sahaja menjurikan seseorang artis itu. Dalam masa sama, secara tak langsung segala apa yang kita kritik itu sebaiknya biar memberikan ilmu kepada peserta bertanding dan penonton.

“Mungkin ada di antara yang menonton itu ada yang mahu menjadi penyanyi sebab itu mereka tonton dan sedar kalau program berbentuk pertandingan sedikit sebanyak ia boleh bantu beri ilmu juga kepada mereka,” katanya kepada MH.

Artikel Berkaitan;

“Dia Tak ‘Overshadow’ Peserta Pun,” – Elly Melebih-Lebih? Ini Respon Rakan Hos GV9, Nabil Ahmad

Kepom Di GV9, Komen Pak Nil; “Elly Mazlein Ialah Seorang Yang Mewarnakan Pentas.”

Elly Mazlein Ulas Isu Lama Dengan Ramli MS ; “Hubungan Sangat Baik, Sudah Boleh Bergurau.”

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Elly yang pernah berada di posisi Presiden Netizen program Big Stage sebelum ini menambah, dia terbuka sekiranya juri bertegas di dalam menilai, tetapi jangan sampai keterlaluan.

“Jadi bila berlakunya situasi juri tengking sehingga membuatkan ada hati yang terluka… jangan cerita nak jadi anak seni hati kena keras. Anak seni ke, kita manusia. Ada hati dan perasaan. Kita bukan kayu. Kita pun ada air muka, perasaan malu dan sebagainya.

“Ya kita boleh beritahu apa yang salah, cuma macam saya kata kalau tegur sebab sayang misalnya bukan begitu caranya. Nak tegas boleh bukan jerit pekik macam mengamuk. Kalau boleh saya mahu perkara begini tidak berlaku.

“Apa pun kita kena jaga air muka orang sebab bintang yang ditegur itu ada yang masih muda dan jauh lagi perjalanan. Kalau boleh janganlah mencalar imej mereka,” katanya lagi.

Hos Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) ini juga merancang untuk mengambil kelas demi memantapkan ilmu pengetahuannya dalam soal vokal dan muzik selepas ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH