Hiburan

“Nak Tutup Malu, Tiba-Tiba Buat Doa Selamat & Berbakti Kepada Anak Yatim,” – Rita Rudaini

Share

Pelakon Rita Rudaini menegur tindakan pasangan suami isteri pempengaruh yang secara terbuka berkongsi pengalaman mereka saat ditahan reman Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Menurut Rita, perkara seperti itu tidak sepatutnya diceritakan dengan bangga kepada pihak umum kerana bimbang ia akan memberikan pengaruh tidak baik kepada masyarakat.

“Macam mana nak cakap ya? Jangan jadikan kena gari itu normal. Kalau saya dulu jalani penggambaran kena gari dan masuk bilik akhir hukuman gantung, itu adalah pengalaman untuk saya rasa.

“Tak payah ulas. Nanti ada yang tak boleh berfikir dan anggap kena gari dan tangkap ni seronok nak cuba sebagai ‘pengalaman’,” tulisnya.

Pandangan itu dikongsikan oleh pelakon filem Anak Mami Junior itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Pada masa sama, Rita turut menyelar tindakan segelintir pihak yang sanggup menggunakan agama atau aktiviti kebajikan hanya untuk menutup kesilapan yang telah dilakukan.

“Kadang-kadang nak tutup malu dan salah, mulalah nak terangkan panjang-panjang. Tiba-tiba teringat nak buat doa selamat dan nak berbakti kepada anak-anak yatim.

“Mungkin boleh nampak baik, suci dan murni. Mulalah menunggang apa yang boleh ditunggang. Hati meronta-ronta nak buat sesi siarang langsung, kongsi kalimat-kalimat suci dan macam-macam lagi.

“Benda itu semua nak sedapkan dan puaskan hati sendiri,” ujarnya lagi.

Malah, ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menyarankan mereka yang ada melakukan kesilapan untuk berdiam diri dan tidak melakukan perkara yang boleh menjurus kepada masalah lain.

“Memang susah nak puaskan hati orang dan tak perlu pun. Lebih baik diam supaya tidak timbul isu-isu baru yang boleh buat orang marah, rasa jengkel, salah faham dan apa-apa sahajalah,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Rita Rudaini

Published by
MH