Berita

Nama Jep Kena ‘Tunggang’ Dalam Podcast, Dedah Ada Cerita Ditokok Tambah

Share

Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu kesal dengan tindakan sebuah program podcast yang didakwa menggunakan namanya.

Menurut Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, kebanyakan kisah yang diceritakan telah direka dan ditokok tambah.

“Aku ni sebenarnya malas nak layan hal-hal remeh tapi bila dibiarkan makin seronok pula diorang sembang.

“Dah takde nama lain ke nak tunggang?,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan penyampai radio Sinar FM itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, Jep turut memaklumkan dia enggan lagi dikaitkan dengan sebarang kisah yang dikongsikan di dalam progam podcast berkenaan.

“Apa yang aku boleh katakan cerita dalam podcast tu kebanyakannya direka dan ditokok tambah.

“Harap tiada yang bertanya lagi,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Jep tidak mengulas lanjut kepada siapa atau program manakah kenyataan tersebut ditujukan.

Malah, Jep memaklumkan dirinya harus bersuara demi mengelakkan fitnah.

“Mula-mula nak diam tapi kalau diam takut fitnah berleluasa,” tulisnya di ruangan komen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tertanya-tanya dan ada juga yang merasakan kenyataan itu ditujukan kepada sebuah program podcast yang baru sahaja dimulakan oleh seorang pelawak baru-baru ini.

“Jarang-jarang Jep kongsi benda-benda macam ni. Ini betul dah rasa marah sangat sampai ke hati.

“Jarang Jep nak layan emosi dekat media sosial. Kongsi fasal famili pun jarang-jarang. Ni mesti dah hilang sabar bila nama dipetik sesuka hati. Sepatutnya pihak di sana sebelum petik nama, kena jernih dahulu hubungan. Ni nampak nak tumpang nama je.

“Demi tontonan dekat saluran sendiri, sanggup buat cerita dekat member sendiri. Dah tahu tak boleh naik dengan nama sendiri. Jangan pula cuba naik dengan petik nama Jep.

“Kenapa nak cerita benda yang sudah lepas. Entah betul, entah tidak,” antara komen-komen netizen.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf