“Adat pertandingan.” Itu kata pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat yang menyifatkan ketiadaan namanya dalam senarai penuh Top 5 Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) bukan rezeki buat dirinya pada kali ini.
Meskti tidak tercalon, penyanyi Temberang ini bagaimanapun tetap akan memberi sokongan penuh terhadap acara gilang-gemilang tahunan berkenaan.
“Ini semua adat pertandingan.Saya anggap ketiadaan nama saya dalam senarai penuhnya bukan rezeki namun akan tetap memberikan sokongan kepada penganjuran anugerah itu.
“Lagipun prinsip saya bukan nak kejar trofi tapi karya yang berkualiti untuk terus menghiburkan pencinta muzik dan mewarnai industri seni lakonan. Itu lebih penting,” jelas Ayda.
Tambahnya lagi, sesebuah anugerah yang diraih tidak semestinya mampu menjamin seseorang artis itu untuk terus kekal berada dalam industri seni.
Sebaliknya, bagaimana seseorang artis itu mampu untuk terus merencana perjalanan seninya.
“Anugerah bukan tiket untuk melayakkan diri berada di dalam industri seni buat selama-lamanya.
“Saya pernah menang anugerah, tapi saya juga pada masa sama masih perlu berusaha untuk mendapatkan naskhah yang terbaik serta lagu-lagu yang mesra pendengar bagi menambat hati peminat.
“Apapun saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua selebriti yang tercalon dalam lima senarai akhir ABP tahun ini,” ucap Ayda.
Sekadar informasi, ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan, jam 9.00 malam.
Foto: Instagram Ayda Jebat