Kerjaya sebagai pelakon menuntut mereka untuk sekurang-kurangnya mempunyai ingatan yang baik bagi membolehkan mereka untuk menghafal skrip yang diberikan.
Risau dengan keadaan dirinya yang kerap lupa, aktres Nabila Huda Suhaimi atau mesra disapa Abil, 38, telah meminta tips di Instagramnya bagi mengatasi masalah yang dihidapinya itu.
Menurut Abil, dia bimbang sekiranya perkara itu berlarutan, ia boleh ‘menjejaskan’ karier lakonan yang dilakukannya lebih dua dekad lalu.
“Saya rasa otak saya dah rosak la. Sekarang jadi susah nak ingat… cepat lupa. Letak phone tak ingat, nak cakap apa lupa. Makin teruk.
“Nak makan kismis dah terlambat pula. Anda tahu tak apa supplement yang bagus untuk pulihkan otak dan ingatan?
“Nampak macam main-main tapi saya serius ni… saya takut kalau saya cepat lupa, saya dah tak boleh ingat skrip atau dialog. Musnahlah karierku… tolong saya,” tulis Abil menerusi Instagram Story.
Selepas meluahkan masalah itu di Instagram, Abil kemudiannya berkongsi tips-tips berguna yang diberikan peminat dan pengikutnya buat pengetahuan netizen yang lain.
Menurut Abil selepas ini dia akan cuba mengamalkan makan buah zaitun, fig dan kurma serta segelas air zam-zam setiap kali selepas bangun tidur.
“Maka saya pun dah muktamad pilih apa yang terbaik untuk diri saya dan anda boleh cuba juga kalau ada masalah yang sama,” tulisnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Nabila Huda