Pengacara dan usahawan, Nana Mahazan berpendapat pemilihan Elly Mazlein bagi mengemudikan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bersama Nabil Ahmad menggantikan Jihan Muse yang kini sedang berpantang sebagai bersesuaian dengan konsep program.
Nana bagaimanapun tidak menafikan dalam ramai penonton yang suka, sudah pasti akan ada juga yang sebaliknya.
“Bagi saya, cara pengacaraan seseorang pengacara itu berbeza-beza. Mengapa dia mendapat kepercayaan di GV9 mungkin kerana karektor selain bagaimana caranya menampilkan diri.
“Kalau ada orang yang suka dan tidak (cara pengacaraan), itulah kehidupan. Kita tidak boleh nak buat seratus peratus orang suka kita. Sebab saya sendiri dulu pun pernah dikecam. Jadi kita kena faham dengan situasi tersebut,” katanya kepada MH.
Nana pada masa sama akui terhibur melihat cara pengacaraan Elly di samping Nabil Ahmad.
“Saya ada menonton program tersebut, meriah. Saya boleh ‘related’, saya mengenali Elly bagaimana. Ketika bekerja atau di luar waktu kerja, dia ialah orang yang sama ketika di atas pentas. Dia memang ‘meriah’ begitu.
“Bagi saya dia berjaya menjadikan program itu ‘hidup’. Sudah tentu kita tidak boleh membandingkan dengan Jihan. Mereka dua individu yang berbeza. Apapun, itu pandangan masing-masing.
“Apa yang saya tahu, sesiapa saja yang akan naik pentas, pegang mikrofon dan akan mengemudikan sesebuah rancangan, kita hanya nak pastikan ia dilakukan dengan baik. Cuba beri lebih daripada 100 peratus.
“Mungkin kadang-kadang kita ‘terover’, tak perasan dalam fokus nak beri yang terbaik. Pada kita mungkin itu yang terbaik kita boleh beri, mungkin pada orang lain tak cukup bagus.
“Persepsi orang berbeza-beza. Tapi saya percaya siapa yang dapat mikrofon untuk menghiburkan, dia pasti akan cuba sehabis baik. Kalau duduk tegak mengacara pun, orang akan berkata juga,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Nana yang kini sukses mengusahakan Sambal Bilik Selauk Nana akui masih lagi aktif sebagai pengacara.
“Sekarang bisnes adalah perkara utama yang saya sedang lakukan. Kita pun berkongsi rezeki, malah perniagaan sudah menjadi sesuatu yang serius bagi saya.
“Apa pun saya masih belajar dan cuba untuk beri impak baik kepada orang di luar sana yang sama-sama jana pendapatan. Pada masa sama, saya juga masih aktif mengacara cuma kali ini lebih selektif,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini ditemui di acara 8th Selangor International Expo 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre, pada Ahad.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI