“Nanti ‘Bahu Kita Banyak Bawa’,” – Ziana Tak Akan Putuskan Hubungan Bapa & Anak, Sudah Lama Maafkan Armin

Share

Selebriti popular, Ziana Zain mendedahkan dia sudah lama memaafkan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 58, selepas mereka berpisah sejak lima tahun lalu. 

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 54, berkata dia juga tidak akan sesekali menjarakkan hubungan Armin bersama empat anak mereka.

“Macam inilah… saya sudah lama maafkan dia (bekas suami). Sebab saya ambil contoh ibu saya. Katanya apa yang orang pada kita sentiasalah memaafkan nak. Nanti (kalau tak memaafkan) akan terbawa-bawa lagi. Nanti ‘bahu kita banyak bawa’. Sebabnya kita pun tak tahu diri kita ni bagaimana.

“Bagi saya, kita kena jadi seorang individu yang sentiasa memaafkan. Ahli agama pun sentiasa berpesan sebelum tidur maafkanlah semua orang. Kita pun tidak sempuna. Bagi saya bila berbuat begitu, kita akan rasa lega.

“Misal contoh kita tidak ada hutang dengan orang. Jadi lebih baik untuk kita jalani kehidupan yang ada sekarang,” katanya kepada MH.

Ziana ditemui pada Majlis Iftar Rizman Ruzaini di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Puncak Kasih itu juga terbuka sekiranya bekas suami dan anak-anak berjumpa kerana baginya, Armin tetap bapa kepada mereka.

“Dengan saya, kami sudah tiada apa-apa, jadi hubungan dengan anak-anak sajalah. Setiap minggu saya selalu tanya mereka sama ada sudah telefon ayah, kerana walau apa jadi dia tetap ayah mereka.

“Mereka selalu jumpa dengan ayah mereka. Saya tidak halang. Cuba kalau orang tak bagi kita jumpa anak-anak kita, mesti kita marah. Tak baik, berdosa,” katanya lagi.

Tambah Ziana, tindakan tersebut dilakukan kerana niatnya tidak mahu anak-anak membesar sebagai anak yang derhaka pada orang tua.

“Saya tak mahu anak-anak saya derhaka pada ibu bapanya. Kita ini contoh pada mereka, jadi kita jangan tanamkan kata-kata negatif dalam fikiran anak-anak kita terhadap bapa mereka.

“Saya mahu anak-anak saya esok jadi suami dan isteri yang baik. Kalau boleh perkahwinan mereka berkekalan sampai akhir hayat.

“Jadi saya tiada hal. Saya pula yang bertanya pada mereka ada berjumpa atau tidak. Saya tak mahu regangkan hubungan anak dengan bapa. Jangan kita pisahkan kasih sayang mereka. Itu adalah anak-anak dia. Ya, saya sudah lepas. Cukup,” katanya.

Pada masa sama, Ziana juga bersyukur dengan kehidupan sekarang dan mahu terus berlapang dada.

“Saya tak nak cakap besar, saya gembira dengan situasi sekarang bersama anak-anak, ibu bapa dan adik beradik serta rakan-rakan saya. Masa akan datang, allahualam.

“Saya selalu minta pada Allah yang baik-baik untuk saya, dalam apa bentuk kita tak tahu. Sekarang saya selesa dengan diri saya. Saya lapang,” katanya lagi.

Imbas kembali, Ziana dan Armin mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Ammar, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh.

Mereka bercerai dengan talak satu pada 12 Julai 20128.

Dalam perkembangan lain, Ziana bakal membuat persembahan pada Konsert Raya Sepanjang Zaman di Dewan Filharmonik PETRONAS pada 6 Mei depan di samping barisan bintang legenda seni suara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH