Bakal menjayakan Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun pada Jun ini, vokalisnya, Amir meluahkan kebimbangan daripada segi penjualan tiket kerana perlu bersaing dengan konsert rakan artis lain yang turut diadakan pada bulan sama.
Menurut Amir atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 53, dia berasa tertekan kerana memikirkan hal tersebut namun ia perlu diteruskan demi peminat.
“Sebenarnya agak terganggu juga dengan keadaan apabila pada bulan Jun ini, ada banyak konsert lain berlangsung. Walhal kalau diikutkan, kami sebenarnya yang terlebih dahulu mendapat tarikh di Istana Budaya.
“Penjualan tiket saya tak boleh nak kata memberangsangkan, tetapi masih berjalan. Setiap hari, ada peminat yang beli dan bertanya.
“Kita memang tak boleh nak halang dengan apa yang berlaku. Tetapi saya akui, timbul kerisauan tentang cara nak tarik audiens.
“Saya akui harga tiket bukannya murah tetapi tengoklah di mana konsert ini berlangsung, bukannya tempat biasa. Jadi sekarang, terpaksa bersaing pada tarikh yang sama,” katanya.
Pada Jun depan, sebanyak enam buah konsert termasuk U.K’s akan berlangsung di ibu kota iaitu Ziana Zain dan Anuar Zain, dua buah kumpulan Search, Aina Abdul dan Datuk Hattan.
Sehubungan ‘pertembungan’ tersebut, Amir menyarankan agar diwujudkan jawatankuasa yang mengawasi penganjuran konsert artis tempatan agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.
“Memang patut ada jawatankuasa yang kena atur jadual persembahan konsert kalau perkara sebegini masih berlaku pada masa depan.
“Nanti kami pun tak boleh cari makan. Sudahlah tarikh bertindih, harga tiket pun boleh tahan. Kalau saya sebagai peminat pun pening juga nak pergi tengok mana satu. Jadi dari situ dah jejaskan penjualan tiket. Kita kalau buat sesuatu, mestilah kena ada untung. Bisnes tetap bisnes,” katanya.
U.K’s yang popular dengan lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu akan menghiburkan peminat setia mereka menerusi penganjuran Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun di Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun ini.
Kumpulan lagenda itu akan membariskan ahli-ahli asal kumpulan mereka iaitu Rozdenil Toni (Denil) selaku pemain gitar, Mohd. Saleh Mohd. Alias (Olley), pemain bass dan dram, Amiruddin Sharif (Amirul).
Pada malam konsert, U.K’s akan menyampaikan sebanyak 25 buah lagu hit mereka sepanjang dua jam persembahan berlangsung.
Tiket konsert yang dianjurkan oleh Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. Bhd. tersebut dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman web rasmi mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI