Menteri Komunikasi dan Miultimedia Tan Sri Annuar Musa menasihati penggiat seni lokal untuk mengetepikan perbezaan ideologi dan tidak bercakaran demi kemajuan industri perfileman negara.
Menurut beliau, segala percanggahan pendapat harus diselesaikan secara harmoni sejajar dengan misi kerajaan mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.
“Kalau dulu kita asyik baca kontroversi sana sini, sekarang perlu kurangkan konflik. Buat apa cari gaduh dan cari perbezaan, sepatutnya kita harus cari titik persamaan.
“Jika ada idea bagus individu itu perlu cadangkan dan bincang. Tidak perlu masuk media sosial orang itu untuk menghentam sana-sini sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan dengan berhemah.
“Lazimnya dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis ataupun pemain bola sepak harus kurangkan konflik. Buat apa suka cari gaduh dan cari perbezaan, padahal mereka lupa cari titik persamaan.
“Jadi harap semua persatuan seni janganlah bercakaran, saya sebagai bapa atau datuk mahu menasihatkan, kita ceriakan kerjaya kita, tidak perlu timbulkan polemik yang tidak baik,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Annuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 di Hotel Royal Chulan The Curve, Damansara pada Rabu.
Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Professor Md Nasir Ibrahim serta Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Sementara itu, Annuar turut menegur sikap segelintir penggiat seni yang tidak mengambil peduli penganjuran festival ini.
Katanya, mereka sepatutnya memberi sokongan memandangkan FFM adalah majlis yang diadakan untuk meraikan kru filem.
“Saya faham dalam situasi pandemik masa sekarang, mungkin ada yang terlepas pandang memandangkan mereka kembali bekerja.
“Bagaimanapun kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar seperti ini.
“Wartawan dan televisyen memainkan peranan menyebarkan mengenai anugerah ini, tetapi mereka (orang industri) tidak mahu ambil ‘port’ apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
FFM31 akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 10 Disember depan yang mempertaruhkan 55 buah filem.
Buat pertama kalinya juga pemenang Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan geran Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.