Berita

Naskhah Arahan Awie Kena Compare Dengan Filem Bajet Besar – “Saya Mengarah Ikut Peruntukan, Bukannya Syok Sendiri.”

Share

Meski ramai yang memuji naskhah sulung arahan Datuk Awie menerusi filem Rebel: Berontak Untuk Berotak, namun ada juga yang membandingkannya dengan naskhah terbitan syarikat produksi gergasi yang menelan bajet berlipat kali ganda.

Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, tidak adil untuk membandingkan filemnya itu dengan naskhah yang kos pembikinannya berbajet mewah.

“Saya tak faham kenapa orang nak bandingkan Rebel dengan filem lain?

“Dari segi genre, jalan cerita dan bajet pun filem Rebel sangat berbeza dengan filem lain. Rebel bukanlah filem bergenre aksi berat yang menelan belanja besar.

“Jadi, jangan bunuh semangat saya untuk terus berkarya, memandangkan ini adalah filem pertama sentuhan saya selaku pengarah.

“Saya sudah hasilkan yang terbaik mengikut kemampuan dengan kekangan bajet sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai bajet, kata Awie, dia mengarahkan filem Rebel mengikut kapasiti dan peruntukan bajet disediakan produksi.

“Bajet filem Rebel sederhana berbanding filem lain yang memperuntukkan bajet berganda lebih besar.

“Saya mengarah filem ini mengikut peruntukan bajet, bukannya syok sendiri dan itulah hasilnya. Takkan saya nak buat dengan terlebih bajet pula?

“Kalau dapat bajet lebih besar, mungkin macam-macam benda saya boleh buat,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Awie, dia tidak akan patah semangat untuk terus berkarya walau apapun maklum balas diterima daripada penonton mengenai filem Rebel.

“Saya akan terus mengarah walaupun kutipan filem Rebel dilaporkan sederhana kerana itu adalah asam garam dalam pembikinan filem.

“Maklumlah, saya sendiri sudah berlakon berpuluh filem dan ada filem lakonan berjaya dan sebaliknya. Itu adalah perkara biasa dalam pembikinan filem.

“Saya sudah rancang sesuatu untuk mengarah filem dengan syarikat sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Apapun, kata Awie, dia sangat berharap peminat beri sokongan pada filem Rebel di pawagam tanah air.

“Filem Rebel memiliki mesej dan pengajaran berguna yang mahu disampaikan kepada penonton.

“Antara mesej disampaikan di mana orang selalu menuding jari pada mereka yang nakal dan jahat, tapi apa punca mereka jadi begitu?

“Takkan mereka dilahirkan ke dunia terus nak jadi nakal dan jahat? Mesti ada sebab atau keadaan yang memaksa jadi begitu,” katanya.

Filem bergenre aksi itu diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama.

Ia turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Mengisahkan perseteruan antara dua individu, Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique) meskipun berada dalam pertubuhan yang sama.

Luka, seorang pemuda yang berasal daripada penempatan setinggan, membesar dalam keadaan serba kekurangan dan dikelilingi elemen tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan gangsterism.

Walaupun berasal daripada persekitaran seperti itu, Luka tetap cuba untuk menjalani kehidupan normal. Bagaimanapun, Luka mempunyai satu sifat membezakan dirinya dengan orang lain seperti tidak boleh menahan diri jika melihat ketidakadilan berlaku di depan mata.

Pada masa sama, berlakunya perseteruan antara Luka dan Bono, seorang budak nakal yang sering mengganggu ketenteraman. Berlaku pergaduhan ketika mereka remaja apabila Bono dan gengnya cuba memeras ugut gerai ibu Luka.

Pergaduhan tidak memihak kepada Luka, tetapi ia merupakan titik perubahan dalam hidupnya. Dia mula memberontak dan menentang ketidakadilan yang berlaku di sekelilingnya.

Rebel: Berontak Untuk Berotak menemui penonton pawagam di seluruh negara sejak 2 Mei lalu.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH