Pasangan duet, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin melihat perkahwinan pada usia muda bagi mengelakkan masalah sosial dan maksiat sebagai antara sesuatu yang mungkin wajar dilakukan.
Bagaimanapun bagi Nuha, 22, atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, golongan remaja perlu sebaiknya bersedia dalam banyak perkara terlebih dahulu sebelum memikirkan soal komitmen perkahwinan.
“Saya tiada masalah andai ada yang merancang untuk kahwin awal bagi mereka yang dah bersedia. Cuma bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun mungkin kena fikir. Bagi saya secara peribadi, saya agak pentingkan soal pendidikan.
“Cuma kalau rasa sudah bersedia untuk berkahwin, sebaiknya atas persetujuan keluarga. Yang penting, lebih baik tamatkan pengajian terlebih dulu kemudian barulah fikir mengenai hala tuju seterusnya,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai isu sosial membabitkan remaja ketika ini, Nuha tidak menafikan perkembangan teknologi jadi antara faktor berlaku andai disalah gunakan.
“Kalau bercakap mengenai gejala sosial, apa yang saya nampak ialah cara penggunan telefon bimbit yang tidak baik. Kita sekarang terdedah dan akses untuk menonton apa sahaja jadi lebih mudah sekiranya ada telefon (pintar). Semuanya di hujung jari.
“Jadi pemantauan penjaga adalah penting selain mereka (penjaga dan anak) lebih terbuka untuk berkomunikasi dalam hal berkaitan perhubungan dan sebagainya.
“Saya sendiri kerap berkongsi dan bertanya dengan ibu soal perhubungan. Dia faham seterusnya memberikan nasihat andai ada perkara yang kurang manis saya telah lakukan,” katanya.
Terdahulu, Nuha dan Naufal ditemui pada Sidang Media Pelantikan Nuha Bahrin dan Naufal Azrin selaku duta Ekspo Perkahwinan Ijab & Qabul 2022, di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, Naufal, 23, pula berpendapat tidak salah untuk bertanya mengenai hal perkahwinan kepada golongan yang lebih berpengalaman misalnya dalam soal persediaan kewangan, mental dan fizikal.
“Saya setuju saja kahwin muda tapi kena betul-betul bersedia. Bersedia dari segi kewangan, dalaman dan fizikal. Kita ni nak kahwin dengan anak orang. Selepas itu, budi bicara dengan orang macam mana kena jaga juga.
“Saya bukan tak sedia (kahwin), tapi masa itu belum tiba lagi. Saya nak utamakan keluarga dulu. Kawan lelaki saya ada yang umur 22 dan sebaya saya pun ada yang dah kahwin. Mereka okay saja,” katanya.
Sementara itu, pasangan duet ini turut terharu apabila pemilihan mereka sebagai duta eskpo perkahwinan tersebut susulan lagu Casablanca yang turut menjadi pilihan pemain industri perkahwinan.
“Tidak dinafikan single tersebut menjadi lagu paling kerap digunakan dalam kalangan pemain industri perkahwinan pada masa ini. Ia sekali gus memberikan inspirasi untuk meraikan dan merancakkan lagi industri perkahwinan yang sudah lama sepi akibat dari pandemik Covid-19,” ujar Nuha.
Ekspo Perkahwinan Ijab & Qabul 2022 yang bakal berlangsung pada 23 hingga 25 September ini di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam itu bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pentas seperti forum, persembahan band, bengkel perkahwinan selain penampilan selebriti dan influencer terpilih.
Ekspo tersebut juga turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan beberapa perancangan sudah pun diatur demi memastikan kemeriahan sepanjang ekspo berlangsung.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.