Usahawan dan selebriti, Neelofa berdoa agar perkahwinan yang baru dibina bersama suami, Haris Ismail dirahmatiNya selalu, seterusnya dapat mempupuk keduanya agar menjadi pasangan yang baik.

Neelofa,32, turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan yang baik-baik.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baru sahaja kami bina, dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan juga suami,” katanya.

Ditanya sama ada dia mahu berehat seketika sejurus diijab kabul, bekas hos program hiburan, MeleTOP ini menjelaskan dia masih ada beberapa komitmen yang perlu diselesaikan.

IKLAN

“Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung.

“Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan.

“Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga,” katanya lagi.

IKLAN

Ditanya bagaimana caranya dalam membuat persiapan perkahwinan, Neelofa mengakui dia banyak bertanya selain membaca demi menambah ilmu.

“Betul, selain banyak membaca, saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan-rakan terdekat, banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan.

“Dalam masa sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelas-kelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga,” katanya.

IKLAN

Dalam perkembangan lain, Neelofa menambah dia dan Haris juga bakal meneruskan fokus bersama Markaz Tijaari selepas ini.

“Untuk kolaborasi projek, kami fokuskan Markaz Tijaari terlebih dahulu. Selain itu, untuk pelan jangka masa panjang pula, kami juga merancang untuk memperkenalkan produk- produk lain di bawah jenama tersebut, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Neelofa,32, selamat bergelar isteri kepada Haris Ismail, 26, dengan sekali lafaz pada Sabtu pagi. Majlis pernikahan pasangan sama cantik sama padan ini dilangsungkan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Foto: Instagram Neelofa (wedlocx.co)