Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa tampil memberikan penjelasan mengenai beberapa isu tular yang melibatkan dirinya serta Muhammad Haris bin Mohd Ismail atau PU Haris, 25, sebagaimana yang diperkatakan sejak Sabtu.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, bekas hos program MeleTOP itu pada masa sama turut menafikan beberapa dakwaan berkaitan status serta beberapa lain yang terkait.
Neelofa,31, turut berharap agar semua pihak dapat memahami seterusnya tidak lagi terus membuat andaian yang tidak tepat.
“Berkenaan dengan perkara yang sedang tular semenjak petang sabtu semalam, pelbagai cerita dan andaian yang telah keluar tentang diri saya dan keluarga.
“Berikut adalah penjelasan penuh berkaitan beberapa hal yang banyak dibualkan di media sosial. Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul tentang diri saya, Haris serta keluarga kami.
“Antara andaian dan tuduhan yang muncul di media sosial semenjak semalam adalah seperti kononnya terkena buatan minyak pengasih.
“Cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya,” katanya.
Sementara itu, Neelofa turut menyangkal dakwaan yang mendakwa dirinya ada memindahkan sejumlah wang kepada Haris selain status perkahwinan mereka.
“Kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris, Saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
“Kononnya saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan. Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini.
“Sementara itu, mengenai status hubungan terkini saya dengan Haris, apa yang mampu saya katakan, setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.
Ahli perniagaan asal Kelantan itu juga turut memohon maaf kepada seluruh ahli keluarganya termasuk keluarga Haris atas apa yang berlaku.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.
“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati,” katanya yang sekali lagi meminta kerjasama ramai untuk memberi ruang sekaligus mengharapkan agar hal tersebut tidak berpanjangan.
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan.
“Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” katanya.
Terdahulu, pelbagai spekulasi mengenai status hubungan Neelofa dan PU Riz mulai diperkatakan netizen menerusi media sosial dan menjadi ‘trending’ di Twitter berikutan beberapa tangkap layar yang dimuat naik ibu dan adik-beradiknya itu di Instagram menjadi viral.
Malah, rata-rata netizen juga sama memuat naik kembali tangkap layar tersebut lalu membuat spekulasi mengenai status hubungan pasangan personaliti berkenaan.