Hos dan ahli perniagaan berjaya, Neelofa memilih untuk berdiam diri seterusnya tidak mahu ambil tahu mengenai dakwaan yang kononnya dia menjadi orang ketiga berhubung isu tular melibatkan PU Riz dan seorang wanita, baru-baru ini.
Menurut Neelofa, dia tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan dan lebih selesa untuk tidak berkongsi mengenai hal peribadi melibatkan dirinya.
“Saya tak tahu dan tak ambil kisah. Sebolehnya, saya tak mahu tambah kerisauan tentang hal itu. Saya sekat diri dari benda-benda yang tidak sepatutnya. Secara baik, tidak ada apa yang boleh saya komen tentang perkara tersebut.
“Mengenai peribadi pula, saya juga tidak bercerita banyak kerana bimbang ia boleh makan diri.
“Bagi saya, tidak perlu untuk buka aib sendiri begitu juga dengan orang di luar sana. Kalian mempunyai media sosial dan adalah lebih baik jika tidak terlalu mendedahkan hal peribadi.
“Jujurnya, ini bukan perkara baru yang saya dengar apabila ada yang mengaitkan saya dengan seseorang sebelum ini, tapi saya tak ambil kisah,”katanya
Neelofa ditemui di pelancaran butik terbaharu Naelofar di 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Sementara itu, bekas pengacara MeleTOP ini membuat keputusan untuk tidak terlalu terbuka bercerita mengenai kisah hubungan peribadinya dengan mana-mana individu.
Ini kerana, hal serius melibatkan perhubungan sebagaimana yang diperkatakan masih belum pasti dan Neelofa meminta orang ramai untuk menghormati keputusannya itu.
“Sehingga sampai akad kalau nak kongsi sikit-sikit okay, malah dalam Islam, ikatan bertunang pun tidak sesuai untuk dihebohkan.
“Apatah lagi, hubungan yang tak ada ikatan. Jadi, tolong hormati keputusan saya untuk tidak terlalu berkongsi kehidupan peribadi,” ujarnya.
Terdahulu, bekas kekasih Pencetus Ummah (PU) Rizz iaitu Amal Syahmina tampil memuat naik satu kenyataan selepas menerima pelbagai kecaman susulan tindakannya mempertikaikan tindakan seorang selebriti yang digosipkan dengan pendakwah muda terbabit.
Tidak semena-mena nama Neelofa dikaitkan oleh netizen meski status yang ditulis gadis berkenaan tidak menyebut nama mana-mana pihak.