Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai dakwaan negara ketika ini sedang dilanda krisis lambakan ‘pempengaruh bodoh’.
Mengulas mengenai isu tersebut, pempengaruh dan doktor selebriti, Dr. Say Shazril menyifatkan dakwaan tersebut agak kasar namun, tidak menolak memang ada segelintir influencer yang tidak berfikir panjang.
Menurut Dr. Say, kebanyakkan mereka ini hanya memikirkan tentang populariti dan wang tanpa memikirkan tentang kesan yang ditanggung masyarakat.
“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Pada saya kenyataan itu agak keras. Kebanyakkan influencer ini tidak berfikiran jauh.
“Mereka hanya fikir tentang nak glamor dan kejar duit tanpa fikirkan apa akan jadi pada masa hadapan.
“Mereka hanya fikirkan keadaan sekarang sahaja. Kalau mereka yang dimaksudkan, saya setuju,” katanya kepada MH.
Dr. Say berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program Maskulin Who’s Your Bro yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Pada masa sama, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini akui terkilan dengan sikap segelintir pihak yang sanggup mengetepikan soal pelajar semata-mata untuk menjadi pempengaruh.
“Apa yang saya nampak, ramai yang sanggup mengetepikan pelajaran demi menjadi influencer. Perkara ini sangat tidak patut.
“Ketika ini, kita ada teknologi AI dan chat GPT. Silap-silap muka kita pun boleh digantikan dengan AI. Apa akan jadi bila semua perkara ini boleh digantikan?
“Apa yang membuatkan kita mampu bertahan adalah dengan segulung ijazah,” katanya lagi.
Tambah Dr. Say lagi, setiap orang diberikan pilihan sama ada mahu memanfaatkan populariti mereka untuk perkara baik atau buruk.
“Ada yang kata viral disebabkan hal negatif pun okay asalkan tetap viral. Pada saya, kesemua pembikin konten kena ubah mindset itu. Kita nak kekal relavan dalam jangka yang lama.
“Ambil contoh isu peniaga donut, mungkin dengan cara marketing yang dia buat itu boleh menaikkan namanya. Namun, adakah orang akan kaitkan dia dengan perkara bagus?
“Akhirnya, dia terpaksa buat permohonan maaf secara terbuka. Kalau nak glamor sebegitu, tak perlulah. Lebih baik buat dengan cara elok. Rezeki pun akan jadi lebih bersih,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Say turut mendedahkan dirinya amat teliti sebelum memuat naik sebarang konten di media sosial.
“Tanyalah isteri saya, memang saya ambil masa yang lama untuk memikirkan tentang satu konten. Dari segi ayat, kita kena fikir sesuai atau tidak.
“Paling penting adalah isi yang ingin disampaikan. Saya pula seorang doktor dan ada kredibiliti yang harus dijaga. Ditambah pula saya juga seorang suami dan bapa.
“Kalau ada kontroversi pun bukan kerana saya salah cakap tapi disebabkan topik itu sendiri,” akhirinya.
Terdahulu, dakwaan negara ketika ini sedang dilanda krisis lambakan pempengaruh-pempengaruh bodoh tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu.
Malah, pemerhatian tersebut dipercayai telah dibuat oleh pihak pakar.
Namun, sehingga kini belum ada kajian rasmi yang didedahkan bagi menyokong dakwaan tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.