Netizen Beri Wawa & Aeril ‘Teguran Suci’, Lebih Afdal Taja Program Mengaji Berbanding Big Stage 5 – “Segala Amal, Kami Jarang Tunjuk Viralkan.”

Share

Pengumuman pasangan usahawan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel yang menaja program realiti Big Stage musim kelima menerusi jenama mereka Wawa Cosmetics dengan jumlah jutaan ringgit mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Di aplikasi Tiktok, seorang pengguna akaun itu memberikan ‘teguran suci’ kepada Wawa dan Aeril yang menyifatkan tindakan mereka silap.

“Bukan nak kritik. Tapi kalau gunakan duit tu taja program mengaji, dan hadiahkan pemenang naik haji itu adalah lebih afdhal, pahala pun mengalir,” tulis pengguna akaun itu.

Tidak terus melatah, Aeril, 35, berkata, keputusan menaja program itu antara lain untuk membantu ‘reseller’ mereka yang turut menjana pendapatan melalui jualan rangkaian produk Wawa Cosmetics.

“Pertamanya, saya dan isteri ingin berterima kasih atas teguran diberikan. Cuma, apa ingin saya katakan adalah segala amal kami, kami jarang tunjuk atau viralkan. Mungkin sebab itu kalian anggap kami tak pernah beramal.

“Kalau saya nak senaraikan satu persatu apa amal kebajikan yang kami buat, orang akan mengata pula. Apatah lagi kalau nak ditunjukkan di media sosial. Saya rasa perkara sebegini tak perlu diperdebatkan.

“Kita tidak ada kuasa untuk menentukan dosa dan pahala seseorang kalau kita sendiri tidak tahu niat di sebaliknya. Cukup-cukuplah menjatuhkan hukum pada orang lain.

“Paling penting, tujuan saya dan isteri menaja Big Stage adalah untuk membantu ‘reseller’ dalam menjana pendapatan. Kalau kami di pihak pejabat urusan (HQ) tidak mempromosikan produk, bagaimana masyarakat nak tahu. Menjadi penaja ini satu daripada strategi pemasaran kami,” katanya.

Menurut Aeril, sepanjang lebih lima tahun mengusahakan jenama itu, pihaknya sudah membantu ribuan peniaga keluar dari masalah kewangan dan kesempitan hidup.

“‘Reseller’ kami terdiri daripada peniaga kecil, ibu tunggal, suri rumah dan golongan pelajar pun ada. Semua mereka ini pada awalnya ingin mengubah nasib diri dan membantu menjana pendapatan keluarga.

“Bukan kami nak berlagak tapi Alhamdulillah, sudah ramai peniaga kecil yang dilahirkan hingga menjadi usahawan dan jutawan.

“Apa pun, terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong, setia dan ada bersama Wawa Cosmetics dari dulu hingga kini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Aeril dan Wawa mengumumkan bakal membina sebuah masjid yang mampu memuatkan 700 orang jemaah di kampung halaman Aeril di Johor.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH