
Penyanyi Syasya Rizal mengakui dirinya mudah tersentuh apabila ada pihak yang bercakap buruk mengenai anaknya, Muhammad Yassir Hayyan.
Menurut Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, tuduhan yang mendakwa dia hamil sebelum bernikah adalah keterlaluan dan tidak berasas.
“Mungkin ini perubahan bila sudah bergelar ibu. Bila orang sentuh fasal anak, saya jadi mudah emosi. Kalau orang sentuh fasal saya, okay sahaja.
“Terdetik dalam hati, kenapa nak sentuh anak saya pula? Mungkin silap saya juga kerana membalas komen tersebut,” luahnya kepada MH.
Insiden tersebut turut membuatkan suaminya, Nasrullah Mohd Sapie menasihatinya agar tidak mudah melayan komen-komen negatif yang boleh mengganggu emosi dan ketenangan.
Tidak Peduli Kata Orang
Malah, bekas anggota kumpulan Dolla itu memaklumkan dia kini lebih bertenang dan tidak mahu mengambil hati dengan tanggapan segelintir pihak.
“Saya faham setiap orang ada pendapat masing-masing. Cara mereka mentafsir sesuatu perkara juga berbeza. Cukuplah sekadar orang-orang di sekeliling yang tahu kisah sebenar.
“Bukan semua orang luar sana kenal Norsyasya Afiqah,” katanya lagi yang hanya mahukan apa saja yang terbaik buat permata hatinya itu.
“Sifat melindungi itu sudah tentu ada. Siapa sahaja yang tak sayangkan anak? Namun, saya tidaklah overprotective. Saya mahu anak saya menerokai dunianya sendiri,” jelasnya lagi.
Masih Belajar
Dalam pada itu, Syasya turut berkongsi dia dan suami masih berada dalam fasa pembelajaran untuk menjadi ibu bapa yang baik.
“Saya sangat seronok. Alhamdulillah, Yassir bukanlah bayi yang terlalu kuat meragam. Mungkin belum lagi. Segalanya masih aman damai. Namun, ada juga hari-hari yang agak huru-hara.
“Saya rasa Yassir sangat memahami. Dia tahu ibu dan ayahnya perlu bekerja. Jika saya hantar dia kepada ibu atau pengasuh, dia sangat mudah dijaga,” katanya.
Sebelum ini, seorang individu menuduh Syasya hamil sebelum berkahwin, susulan keputusannya meninggalkan kumpulan Dolla.
Penyanyi itu bagaimanapun tidak berdiam diri dan berharap fitnah tersebut dibalas di akhirat nanti.
Terdahulu, Syasya mengejutkan peminat apabila mengumumkan perkahwinannya dengan Nasrullah Mohd. Sapie pada 20 April tahun lalu, selepas meninggalkan Dolla atas sebab peribadi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI