Netizen Sebak, Reaksi Shuib Ketika Lagu Arwah Isteri Dimainkan Di Radio Jentik Hati

Share

Memulakan tugas rasmi sebagai penyampai radio Suria FM sejak 29 Ogos lalu, Shuib bergandingan dengan rakan sekerja, Ajak dan Suraya Borhan bagi segmen pagi, Morning Morning Suria.

Menerusi laman Instagram Ajak, secara spontan dia berkongsikan video menunjukkan reaksi Shuib tatkala lagu arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin dimainkan di corong radio.

Menerusi segmen pagi yang disiarkan pada Khamis, trio penyampai itu mengupas topik mengenai isteri hamil yang mengidam.

Dalam perbincangan itu, Shuib turut menitipkan nasihat dan pesanan kepada para suami agar sentiasa berusaha untuk menunaikan permintaan isteri tercinta.

“Kalau isteri kita mengidam, suami usahalah sebaiknya tunaikan… barangkali itu adalah permintaan terakhir dia,” kata Shuib.

Rata-rata netizen yang melihat video itu melahirkan rasa sedih terhadap Shuib yang dilihat menghela nafas panjang saat mendengar lagu dendangan arwah isterinya.

“Berat nafas yang dihembus tu.

“It’s not easy to be like Shuib, stay strong.

“Dengan kita-kita pun mengalir air mata.

“Serius tengok video ni rasa sedih gila. Lagu itu macam arwah sentiasa ada dekat sekeliling kita.

“Mudahan Shuib kuat, tabah. Sedih pula tengok video ni. Sedih yang tak dapat diungkap,” komen beberapa netizen.

Siti Sarah yang cukup terkenal dengan lagu Kesetiaan meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu akibat jangkitan Covid-19.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Al-Qarni, 11, Dzakira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 1, hasil perkongsian hidup dengan Shuib.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar