Pelakon dan penyanyi, Nichkhun Horvejkul melahirkan keterujaan dapat kembali bekerja di negaranya, Thailand.
Menurutnya, setelah sekian lama asyik bekerja di Korea Selatan, peluang untuk berlakon dalam sebuah filem Thailand bagaikan bulan jatuh ke riba.
“Saya berasa sangat seronok dapat kembali ke Thailand, kali terakhir saya berlakon dalam filem Thai, lebih kurang 6-7 tahun lalu, jadi memang seronok.
“Ahli keluarga saya juga seronok dengan berita ini dan semestinya saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dengan Sunny (Suwanmethanont) dan Yaya (Urrasaya Sperbund) kerana mereka sangat best.
“Setiap hari di set tak terasa seperti bekerja. Bila berlakon kami akan serius tapi bila tidak di depan kamera kami seperti kawan-kawan dan lepak bersama-sama,” katanya ketika sidang media Brother Of The Year, di Le Meridien Putrajaya.
Dalam pada itu, disebabkan sudah terlalu lama bekerja di luar negara, Nichkhun turut mengakui bahawa dia agak canggung untuk berbahasa ibundanya.
“Saya perlu mengambil sedikit masa untuk bertutur dalam bahasa Thai kerana sudah lama tinggal di luar negara.
“Tetapi selepas mendapat skrip, saya membaca dan sedaya upaya memahami dialog serta melancarkan sebutan-sebutan saya.
“Saya tidak mahu memberi masalah kepada dua lagi pelakon utama iaitu Yaya dan Sunny, jadi saya memang memperuntukkan masa saya untuk memastikan saya fasih bertutur dalam bahasa Thai sebelum masuk ke set dan menjalani penggambaran,” katanya lagi.
Dia yang juga merupakan ahli kumpulan Kpop, 2PM sempat berkongsi kegembiraannya untuk bertemu dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lama.
“Rasa sangat seronok dapat kembali ke Malaysia. Tak sabar nak jumpa peminat-peminat dan ini juga merupakan kali pertama saya ke sini tanpa ahli 2PM,” katanya lagi.
Foto: Instagram Nichkhun