Pelakon meningkat naik, Nik Rifaie menafikan dakwaan yang mendakwa dirinya menggunakan aplikasi ‘dating’ untuk memikat wanita dan mengajak mereka melakukan perkara tidak senonoh.
Menurut Nik, dakwaan tersebut sememangnya tidak berasas dan dibuat tanpa usul periksa untuk memburukkan namanya.
“Sejujurnya saya sangat sibuk dengan penggambaran. Bila anda tunjukkan kepada saya video tersebut, baru saya tahu. Saya ingin jelaskan, individu yang dimaksudkan itu bukanlah saya.
“Lagipun, dalam video berkenaan tiada disebut pun nama saya. Dia hanya menyebut salah seorang anggota ‘running group’ popular.
“Seperti kita tahu, running group yang sedang popular ketika ini adalah Challo Run. Saya pula memang aktif dengan kumpulan tersebut. Bila group ini viral, secara tidak langsung nama saya terpalit sama.
“Ruangan komen terbuka kepada semua orang. Saya sendiri tak tahu kenapa nama saya dipetik,” katanya kepada MH.
Nik berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Rahsiamu Selamat Denganku yang berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada masa sama, Nik turut memaklumkan dirinya tidak pernah menggunakan sebarang aplikasi mencari jodoh kerana merasakan ia bukan cara yang sesuai untuk mencari pasangan.
“Saya tahu sekarang banyak sahaja aplikasi cari jodoh seperti Tinder. Umur saya pun dah 26 tahun jadi saya tahu saja aplikasi-aplikasi seperti itu.
“Tapi untuk mencari jodoh di tempat-tempat seperti itu saya rasa kurang sesuai.
“Bagi saya kalau nak mengenali seseorang itu lebih baik kita jumpa secara depan mata. Lebih senang nak berkenalan dan bersembang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik menyedari terdapat akaun palsu yang menggunakan gambar dan namanya untuk mengambil kesempatan dengan berniat jahat.
“Ada sahaja orang yang menggunakan nama dan gambar saya untuk membuat akaun palsu. Tapi apa yang saya boleh kata, saya memang tak ada aplikasi-aplikasi tersebut.
“Saya tahu banyak sahaja akaun palsu di media sosial. Orang boleh guna nama dan gambar kita sewenangnya.
“Sekiranya ada yang menggunakan kesempatan ini untuk berniat jahat, tak bestlah. Orang lain buat jahat, kita yang kena. Saya sudah menjadi seperti kambing hitam pula,” katanya.
Sebelum ini, tular video pempengaruh di TikTok berkongsi kisah daripada pengikutnya yang mendedahkan salah seorang ahli kelab larian terkenal mengajaknya melakukan perkara tidak baik.
Menerusi perkongsian cerita itu, individu itu mendakwa dia mengenali ahli kelab larian itu menerusi aplikasi mencari jodoh.
Malah menerusi ruang komen perkongsian itu, ramai netizen memetik kelab larian ‘Challo Run’ dan juga nama Nik Rifaie.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.