Pasangan selebriti, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, bersyukur kerana urusan menjelang hari bahagia mereka dipermudahkan, namun memilih untuk tidak mendedahkan tarikh pernikahan sebenar sehingga ia benar-benar muktamad.

Merancang untuk melangsungkannya di sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka untuk majlis akad nikah, bintang drama Setelah Terlafaznya Akad ini juga dijangka mengadakan tiga majlis resepsi.

Bagaimanapun perkara tersebut bergantung kepada situasi semasa ketika ini.

“Ikutkan perancangan, majlis pertama khas untuk keluarga, teman rapat serta media, manakala majlis kedua pula untuk rakan artis. Majlis ketiga pula kami rancang untuk peminat yang banyak memberikan sokonga, insya-Allah,” kata Uqasha.

Sementara itu, Kamal dan Uqasha yang ditemui sejurus program MeleTop pada Selasa turut berkongsi, persiapan hari bahagia itu juga hampir selesai.

“Sudah 80 peratus persiapan sudah pun dibuat. Kita sudah ‘locked’ untuk beberapa perkara misalnya dari segi persalinan kahwin dan makanan yang bakal dihidangkan nanti, insya-Allah.

IKLAN

“Cuma cabaran yang paling besar bagi kami setakat ini ialah jadual kerja. Malah ada ketikanya Uqasha terpaksa uruskan berseorangan kerana komitmen kami berbeza-beza.

“Tetapi tidak mengapa kerana sebahagian besar persiapan, Uqasha yang tentukan,” katanya.

Ditanya mengenai apakah reaksi yang diberikan dua adiknya yang juga pelakon, Nelydia dan Raysha Rizrose, Uqasha memberitahu mereka turut tumpang gembira dan teruja.

IKLAN

“Adik-adik sangat positif dan menyokong. Malah ketika ini mereka sentiasa ada bersama-sama saya selain tawarkan diri teman saya uruskan hal berkaitan kahwin,” katanya.

Uqasa dan Kamal pada masa sama turut berharap agar majlis perkahwinan mereka nanti berjalan lancar sebagaimana yang diharapkan terutamanya alam berdepan cabaran COVID-19.

“Harapan saya, keadaan COVID-19 semakin reda apabila tiba waktu kami diijabkabulkan. Jadi, tiada masalah untuk tetamu merentas negeri.

IKLAN

“Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar ketika membuat persiapan perkahwinan. Apapun, saya hanya ingin Uqasha gembira kerana dia mempunyai majlis perkahwinan impian.

“Apa temanya, biarlah menjadi rahsia terlebih dahulu, insya-Allah kami akan umumkan apabila tiba masanya,” kata Kamal.

Terdahulu, hubungan dua bintang ini dikatakan mula rapat selepas bergandingan menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad dua tahun lalu dan kemudiannya sekali lagi berpasangan di dalam drama Perempuan Tanpa Dosa pada Oktober, tahun lalu.

Pendedahan pengarah, Michael Ang yang secara gurau ‘memecahkan rahsia’ dalam media sosial yang mendakwa Kamal dan Uqasha sudah menghadiri kursus perkahwinan ketika penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa turut mencuri tumpuan warganet.

Kamal akhirnya melamar Uqasha secara langsung pada Anugerah MeleTOP Era 2020, Disember tahun lalu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI