Noh Salleh, Mizz Nina Sah Bawa Haluan Masing-Masing, Minta Hormati Privasi Ketika Ini

Share

Pasangan selebriti, Noh Salleh dan Mizz Nina akhirnya mengesahkan khabar angin mengenai perpisahan mereka, pada semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan Noh dan Nina menerusi satu kenyataan dalam Bahasa Inggeris yang dimuat naik di Instagram masing-masing sebentar tadi. 

“Noh dan saya mempunyai pengumuman penting untuk dibuat.

“Selepas berfikir dan melakukan pertimbangan secara teliti, kami sepakat bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah yang mengizinkan kami untuk bersama selama 11 tahun dengan pelbagai cabaran dan turun naik. Kami turut mahu berterima kasih kepada mereka yang selama ini menyokong. Jangan risau kami masih berkawan dan baik di antara satu sama lain.

“Kita boleh merancang tetapi perancangan Allah itu jauh lebih baik.

“Tolong titipkan doa-doa kepada kami terutamanya ketika fasa idah, kami hargai semua untuk menghormati privasi kami,” tulisnya yang turut memohon tidak membuat spekulasi yang kurang tepat bagi mengelakkan fitnah.

Di dalam hantaran sama, hanya doa yang diperlukan mereka ketika  ini.

Terdahulu, khabar angin perpisahan mereka diperkatakan ramai selepas mereka didakwa sudah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak semalam.

Malah, seorang pengguna Twitter ada membuat ciapan berkenaan perkara yang dipercayai berkaitan dengan hal tersebut selepas ditanya pengguna lain.

Media sebelum ini melaporkan, Noh, 37, atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh menafikan mengenai desas-desus keretakan rumah tangganya yang bertebaran di media sosial pada 13 Julai lalu.

Kemudian, beberapa hari selepas itu Mizz Nina, 42, atau nama sebenarnya, Shazrina Azman memuat naik hantaran di Instagram yang seolah-olah memberi bayangan dia sedang melalui saat-saat sukar hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011 dan sekitar April lalu, mereka memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH