Pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua tampil menjelaskan mengenai situasi sebenar suasana di lokasi pengambaran sebelum salah seorang pelakon drama arahannya yang juga merupakan rapper, Noki dilaporkan mengidap demam denggi.
Menurut Shuhaimi, pada awalnya, Noki sememangnya telah didapati positif Covid-19 selepas melakukan saringan kit ujian pantas (RTK) antigen.
Namun, setelah diikuti pula dengan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) sebanyak dua kali, Noki kemudiannya telah pun disahkan negatif daripada wabak berkenaan.
“Debaran saya pada 04 hari bulan Oktober bila Noki didapati positif Covid melalui test RTK. Lepas tu diikuti Test PCR kali 1 dan 2 semuanya negatif,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh pengarah drama, Oh My Hantaran itu menerusi posting terkini yang dimuat naik di laman Instagram.
Jelas Shuhaimi lagi, pihaknya hanya menyedari mengenai demam denggi yang dialami Noki sewaktu mereka sedang berkumpul di Sungai Besar, Sabak Bernam sebagai persediaan untuk menghabiskan sesi pengambaran yang tertangguh.
Pada ketika itu, beberapa bintik-bintik merah telah kelihatan pada wajah Noki lalu pihak produksi terus membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
“Pada 12 hari bulan Oktober kita semua berkumpul dengan niat akan meneruskan shooting di Sungai Besar selama seminggu untuk menghabiskan scene kampung episod 1-5 tapi bila berjumpa dengan Noki kami nampak lain di wajah Noki pucat dan keluar bintik-bintik merah itu membawa kepada pemeriksaan di Klinik Sg Besar.
“Nah di dapati penyakit denggi. Sebab itu sekarang semua mind set kena delete sikit, sakit sikit covid sakit sikit covid,” kongsinya lagi.
Dikesempatan itu juga, Shuhaimi turut berharap agar semua pihak tidak membuat andaian secara melulu sebaliknya titiplah doa yang baik-baik buat Noki dan seluruh team produksi.
Shuhaimi turut menambah, pihaknya akan tetap setia menunggu Noki sehingga dia benar-benar pulih sebelum mereka kembali semula ke set pengambaran.
“Kami semua akan menunggu untuk Noki kembali set. Kami dari team #ohmyhantaran mendoakan semoga Noki kembali sihat sedia kala. Amin,” ujarnya lagi.
Sekadar informasi, Oh My Hantaran merupakan sebuah drama komedi arahan Shuhaimi yang turut menampilkan pelakon seperti Eliya Sandha, Nazia Mustafar, dan Jaafar Onn.
Drama ini juga merupakan percubaan pertama Noki untuk berjinak-jinak di dalam bidang lakonan.
Sumber: Instagram Shuhaimi Lua