Hiburan

Noraniza Idris, Aina Abdul, Hael Hussaini & Ramai Lagi Gegarkan ‘Konsert Countdown MeleTop 2025’, Usaha Astro Kumpul Dana Bantu Mangsa Banjir

Share

Bersempena sambutan ambang tahun baru, Astro buat julung kalinya bakal mengadakan ‘Konsert Countdown MeleTop 2025’ yang akan berlangsung pada 31 Disember ini di IOI City Mall, Putrajaya.

Konsert yang diadakan secara percuma ini dirancang sebagai tanda penghargaan buat para penonton Astro dan peminat-peminat di luar sana.

Para pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan-persembahan hebat daripada artis-artis ternama tanah air seperti Noraniza Idris, Shila Amzah, Aina Abdul, Hael Hussaini, Ayda Jebat, Khai Bahar dan ramai lagi.

MeleTOP Special: Wrap Up 2024

Malah, rancangan bual bicara popular, MeleTop Special: Wrap Up 2024 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Hawa Ridzwana bakal diadakan secara langsung di pentas utama.

Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, selain berhibur, konsert ini juga diadakan bagi mengumpul dana bagi membantu mangsa yang terkesan akibat banjir di beberapa buah negeri, baru-baru ini.

“Dalam meraikan satu lagi tahun yang bermakna, kami di Astro ingin membantu mereka yang memerlukan dengan mengajak semua yang menonton Konsert Countdown MeleTOP 2025 untuk menyumbang kepada keluarga-keluarga mangsa banjir di Malaysia melalui Bantuan Bencana Banjir Astro Kasih.

“Dengan usaha kecil ini, kami berharap dapat meringankan dan memberi mereka semangat untuk memulakan tahun baharu,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan ke Bantuan Banjir Astro Kasih boleh mengimbas kod QR yang akan dipaparkan sepanjang acara berlangsung atau boleh terus ke akaun Yayasan Astro Kasih.

Konsert Countdown MeleTop 2025 bakal bermula seawal jam 6.30 petang dan turut akan dipancarkan secara langsung di Astro Ria pada jam 10 malam dan acara ini juga boleh distrim menerusi platform Astro Go dan Sooka

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf