
Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris bakal menghiburkan para peminat menerusi sebuah konsert Hari Raya percuma, KONSERT EH RAYA 2025, yang akan berlangsung di Summit USJ pada 26 April 2025 (Sabtu), dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam.
Dikenali sebagai figura yang konsisten memperjuangkan seni budaya tempatan, Noraniza mengetengahkan pendekatan unik dengan menggabungkan elemen hiburan, warisan budaya dan keterlibatan komuniti dalam satu sambutan Aidilfitri yang penuh makna.
Berbeza dengan konsert biasa, KONSERT EH RAYA 2025 menampilkan persembahan yang menyusuri pengalaman rumah terbuka dalam bentuk sketsa, tarian dan nyanyian.
Noraniza yang mesra disapa Kak Ani juga bakal memainkan watak sebagai “Che Ani” dan akan mengacarakan persembahan selama dua jam bersama rakan artis seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah.
Penonton akan dihiburkan dengan lagu-lagu raya klasik seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal, diiringi lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI).
Memasyarakatkan Seni Warisan
Sebagai usaha memartabatkan seni tradisional dalam masyarakat, konsert ini turut menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif, serta aktiviti unik seperti Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal dan perarakan makanan warisan Bugis.
Semua program ini dianjurkan secara terbuka dan percuma untuk orang ramai, menjadikan acara ini antara yang terbesar sempena sambutan Aidilfitri di Selangor.
Lebih istimewa, pengunjung berpeluang menyaksikan pratonton eksklusif persembahan tarian warisan Negeri Selangor, bersempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Modul pembelajaran budaya ini merupakan hasil pembangunan Noraniza sendiri melalui akademinya yang kini beroperasi di Shah Alam.
Jelas Noraniza, dia teruja kerana dapat menjayakan konsert ini bersama rakan artis dalam suasana mesra keluarga yang mengetengahkan elemen moden dan tradisional.
“Sebagai anak seni, saya percaya muzik tradisional dan elemen kebudayaan harus terus diberi ruang dan disatukan dengan irama moden agar mampu menarik minat generasi baru,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia.
Platform Pendidikan & Keusahawanan
Penganjur bersama, Jeffri Iman Hoodi daripada NIPV Management menjangkakan lebih 5,000 pengunjung akan hadir memeriahkan KONSERT EH RAYA 2025.
Katanya, objektif utama adalah untuk mewujudkan suasana Aidilfitri yang meriah, inklusif dan mampu memperkasakan seni budaya dalam kalangan generasi muda.
Selain persembahan pentas, konsert ini turut membuka peluang kepada para usahawan mempromosikan produk mereka melalui ruang pameran, demonstrasi serta penyertaan dalam jamuan gastronomi warisan Bugis dan semuanya secara percuma!
Majlis pelancaran rasmi konsert ini dijangka akan disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman AlHaj selaku Penaung NIDA.
KONSERT EH RAYA 2025 dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama Summit USJ selaku penaja lokasi, Tourism Selangor sebagai penyokong promosi negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penaja hadiah serta rakan pelaksana seperti CHE ANI PREMIUM, NAJAH dan NIDA.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI