Hiburan

Nyanyi 20 Lagu Tanpa Medley, Ziana Zain Pukau 5000 Penonton & Selayaknya Diva Disegani!

Share

Meskipun pada awalnya agak meragui kemampuan diri sendiri, penyanyi tersohor, Ziana Zain membuang jauh persepsi tersebut seterusnya tampil memukau 5000 penonton yang hadir menyaksikan konsert solo pertamanya ‘Ziana Zain Konsert 2024’ yang berlangsung di Megastar Arena, malam tadi.

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu memaparkan kisah suka duka kehidupan seorang Siti Roziana Zain dan trajektori kerjayanya sepanjang bergelar anak seni.

Tepat jam 9 malam, pentas mula dibuka namun, kemunculan Ziana yang menggamatkan seluruh pelusuk dewan sedikit terganggu dengan masalah ‘ear monitor’.

Bagaimanapun, pengalaman lebih dua dekad bergelar penghibur membuatkan Ziana kekal tenang meneruskan persembahan dan masalah tersebut berjaya diatasi di atas pentas.

Menurut penyanyi lagu Berpisah Jua ini, kejayaan konsert solo ini merupakan penyuntik semangat buat dirinya untuk meneruskan kerjaya nyanyian dan kini dia percaya usia bukanlah satu penghalang.

“Kini saya tidak sangsi lagi. Belum cuba, belum tahu. Awalnya saya sendiri kurang yakin. Boleh ke pada umur 56 saya menyanyi 20 buah lagu.

“Selepas konsert malam ini, ia menjadi booster dan memberikan semangat untuk terus buat persembahan selepas ini. Kalau ada rezeki yang Allah berikan, saya akan teruskan,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, kehadiran ramai peminat dari beberapa negara lain seperti Brunei dan Singapura membuatkan dirinya sangat dihargai.

“Saya sangat terharu dengan setiap sokongan daripada peminat lebih-lebih lagi ada yang ‘terbang’ dari pelbagai negara lain.

“Kehadiran mereka juga merupakan satu apresiasi paling besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya lagi.

Semalam, Ziana menghiburkan lebih 5000 penonton menerusi 20 buah lagu popular yang dinyanyikan secara penuh tanpa madley.

Antara lagu popular yang didendangkan ialah Madah Berhelah, Berpisah Jua, Kemelut Di Muara Kasih dan Anggapanmu.

Pada malam tersebut juga, Ziana menggayakan tiga pasang busana indah hasil rekaan pereka fesyen terkenal tempatan iaitu Rizman Ruzaini, Rizalman dan Ezuan Ismail.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Published by
Aizam Manaf