Walaupun usia sudah mencecah 63 tahun, namun semangat pelakon kung fu dari Hong Kong, Jackie Chan untuk melakukan aksi-aksi stunt tetap kental dalam jiwanya.
Malahan masalah kesihatan yang dihadapinya sedikit pun tidak menghalang beliau meneruskan penggambaran sehingga siap sepenuhnya.
Dalam sidang media filem terbaharunya, The foreigner, beliau telah ditanya mengenai pembedahan yang dilaluinya selama lima jam di London.
Rupa-rupanya Jackie mengalami kesakitan otot semasa pembikinan filem Kung Fu Yoga. Keadaannya menjadi lebih teruk apabila sedang sibuk menyiapkan The Foreigner.
“Saya dipaksa dibawa ke bilik pembedahan di London. Saya diberitahu pembedahan ini hanya memakan 45 minit sahaja, tetapi akhirnya menjadi lima jam. Dua pembantu saya begitu risau dan menangis di luar bilik pembedahan.
“Pada keesokan hari, saya kembali semula bekerja seperti biasa. Saya boleh beraksi adegan pergaduhan seminggu kemudian walaupun doktor nasihatkan saya berehat dulu,” kata Jackie yang dilihat terlalu mementingkan filem berbanding dengan kesihatannya.
Menceritakan mengenai Martin, Jackie memuji pengarah yang cukup pengalaman ini kerana telah berjaya menghasilkan filem cukup bermutu tinggi.
“Martin adalah seorang pengarah yang mempunyai pengetahuan yang luas dan berprofesional. Beliau amat berdisiplin dan tidak membenarkan sebarang gangguan bunyi kedengaran di sekitar lokasi penggambaran,” kata Jackie.
Jackie turut mendedahkan wataknya sebagai Quan terpaksa menerima solekan khas menjadi orang tua.
“Saya perlu berjalan dengan lambat bagi menggambarkan keadaan saya yang tua. Martin kadang-kala marahkan saya kerana jalan terlalu cepat. Dia kata saya adalah Quan, dan bukan Jackie Chan.
“Inilah menyebabkan apabila penggambaran berjalan, suasana lokasi menjadi terlalu sunyi sehingga perasaan saya begitu berat,” jelas Jackie yang sudah dikenali ramai dengan watak yang ganas dan lincah.
Mengenai Brosnan pula, Jackie turut teruja kerana berpeluang berlakon bersama dengan pelakon James Bond itu.
“Brosnan sanggup datang ke lokasi penggambaran untuk berlatih dialog dengan saya walaupun dia tahu pada hari itu tiada babak lakonan untuknya. Walaupun dia seorang pelakon terkenal, tetapi sikap yang dia tunjukkan, saya cukup terkejut dan terharu,” jelas Jackie.
The Foreigner bakal ditayangkan secara serentak di pawagam GSC di seluruh negara pada 30 September depan. Ia turut ditayangkan di China pada tarikh yang sama. Manakala untuk Eropah dan Amerika Syarikat, ia akan mula menemui penonton pada 13 Oktober depan.
Teks: Ong Boon Teck