“Orang Industri Pun Manusia Juga…,” – Fadilah Mansor Tak Tolak Andai Berjodohan Dengan Anak Seni Lagi

Share

Pelakon veteran, Datin Fadilah Mansor mendedahkan ada pihak yang cuba mengetuk pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga selepas pemergian suaminya yang juga penyanyi legenda, Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan.

Menurut Fadilah, dia tidak akan sesekali menolak takdir Allah SWT namun fokusnya kini hanya tertumpu kepada kerjaya dan keluarga.

“Nak cakap fasal pengganti, memang ada yang cuba datang. Namun, saya hanya berserah kepada Allah. Saya tidak cakap ya dan tidak. Saya juga tak mencari.

“Kalau Allah sudah jodohkan bersama orang-orang tertentu, kita terima dengan hati terbuka.

“Bagi pihak anak-anak pula, mereka suka sahaja. Asalkan mama dia gembira untuk menghabiskan hujung-hujung usia ini,” katanya kepada MH.

Masih tampil jelita pada usia 65 tahun, Fadilah memaklumkan dirinya tidak meletakkan sebarang syarat atau kritiria untuk pasangan hidupnya.

“Kalau ada yang kata saya masih cantik, Allahamdulillah. Semoga Allah tidak menyesatkan hati saya. Nak kata tua pun tidak, muda pun tidak. Mungkin dalam umur lingkungan saya juga.

“Tak kisahlah macam mana pun orangnya. Dekat atau jauh. Nak kata pintu hati ini terbuka luas pun tak juga. Saya santai sahaja,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelakon drama Bukan Sekadar Lafaz ini turut tidak menolak andai dirinya dijodohkan dengan bakal suami daripada kalangan penggiat seni.

“Orang industri juga manusia. Kita kena terima dengan hati yang terbuka. Kalau hati kata tak nak, tak jadi juga. Saya terima sesiapa sahaja seadanya kalau hati dah suka,” akhirinya.

Terdahulu, A. Rahman meninggal dunia di Hospital Ampang akibat strok dan pendarahan pada bahagian otak pada jam 12.40 tengah malam pada 13 Jun 2019.

Allahyarham berkahwin dengan Fadilah pada 25 Disember 2014.

Sebelum berkahwin dengan A. Rahman, Fadilah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah Allahyarham Mat London namum bercerai pada 2012.

Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Alia dan Faeesal Asuwat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf