Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad mengakui dia tidak terlalu memikirkan istilah andartu kerana baginya, itu hanyalah suatu persepsi yang berbeza-beza di antara individu. Sehingga kini, bintang tersebut masih sendiri.
Bagaimanapun, pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, dia tidak menafikan ada usaha untuk mencari teman lelaki sesuai, tetapi itu semua bergantung pada jodoh dan keserasian di antara satu sama lain.
“Andartu bagi saya hanyalah pada gelaran, tapi itu terpulang kepada persepsi orang lain untuk terjemahkan apa yang dikatakan sebagai anak dara tua. Saya pun ada juga usaha untuk mencari, cuma kenalah cari lelaki sesuai,” katanya yang mendedahkan, ada di antara rakan-rakan rapat yang turut berusaha menjadi teman lelaki buat dirinya.
Ditanya sama ada isu mencari teman lelaki adalah suatu subjek yang sukar dalam hidupnya, bintang Bikin Filem ini memberitahu, dia bukanlah seorang wanita yang tipikal, lemah-lembut seperti kebanyakan wanita lainnya.
“Saya bukanlah yang cover ayu. Saya jenis speak out, kalau saya tak suka saya akan beritahu, tiada pendam. Jadi sebab itulah kalau nak cari soulmate yang akan hidup dengan kita sampai bila-bila, kita kenalah saling melengkapi. Malah, saya sendiri okay saja kalau wanita yang make a move dulu, tidak semestinya golongan lelaki.
“Tapikan saya pelik juga, orang kata lelaki lebih suka wanita yang kuat berjenaka, tapi tak dapat pun? Apa pun, kalau boleh saya mahukan lelaki yang boleh terima saya seadanya,” akhirinya kepada MH.
Foto: Instagram Sherry Alhadad