“Orang Kata Saya Anak Mak, Bercerai Sebab Mak,” – Fizo Omar Nafi Spekulasi Keluarga Punca Cerai

Share

Pelakon dan usahawan, Fizo Omar menafikan mengenai spekulasi perpisahannya dengan Mawar Karim adaah disebabkan campur ahli keluarga.

Bekas finalis Hero Remaja itu berkongsi cerita menerusi sesi Live di Facebook Profesor Muhaya yang disiarkan Jumaat lalu.

Malah, Fizo menjelaskan tiada pergaduhan berlaku antara kedua-dua belah pihak dan dia memilih untuk terus berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Saya mendapat banyak respon daripada netizen mengatakan saya anak emak. Dan bercerai disebabkan oleh ibu. Saya harus nafikan kerana ia tidak benar.

“Persepsi orang, saya memilih ibu dan mengorbankan isteri dan anak, namun bukan itu yang berlaku. Saya ada jawapan sendiri dan Mawar tahu mengenainya. Dan atas sebab itu kami bercerai secara baik.

“Saya memilih untuk diam kerana tiada apa yang harus diceritakan. Tiada keburukan Mawar untuk dijaja dan terlalu banyak kebaikan dia untuk diceritakan.

Ada wartawan yang cuba mengorek cerita namun jujurnya tiada apa yang menarik untuk dikongsi. Orang ramai hanya mahukan cerita keburukan. Namun, rumah tangga kami memang baik sebelum ini,” jelasnya.

Mengakui terkejut dengan spekulasi yang bertebaran, jelas bapa tunggal ini lagi, fitnah timbul hanya untuk melaga-lagakan.

Walaupun ramai yang meminta agar dia mengeluarkan kenyataan bagi menghentikan spekulasi, namun dia lebih selesa berdiam diri.

“Jujurnya saya terkejut apabila netizen membuat spekulasi mengatakan berlaku pergaduhan antara keluarga, namun sebenarnya kami baik-baik sahaja.

“Memang ramai yang memaksa agar saya bercerita untuk menjelaskan keadaan sebenar. Dan apabila saya memilih untuk berdiam diri, mereka kata saya yang bersalah.

“Tak apalah, saya baik-baik sahaja, cuma ia mungkin memberi kesan kepada keluarga saya,” ulasnya lagi.

Dilihat tenang saat prosiding di mahkamah minggu lalu, bapa kepada Wan Maryam memberitahu, emosi yang ditonjolkan bukanlah bermakna tiada sekelumit rasa sedih di hati.

Bagaimanapun, ia merupakan berkat zikir Ya Barik yang diamalkan.

Saya sendiri terkejut dengan ketenangan diri sewaktu di mahkamah. Orang kata seolah-olah saya tiada perasaan.

“Namun, saya sangat sedih kerana kami sudah punyai anak dan Mawar juga banyak jasa dan kebaikan sepanjang kami bersama.

“Namun sudah tertulis jodoh sampai di situ dan ia atas persetujuan dan kebaikan bersama. Perceraian ini bukan kerana kami saling membenci,”

akuinya yang kini lebih tenang selepas fasa perceraian.

Pelakon ini juga dilihat membuat kenyataan sudah memaafkan netizen menyebarkan fitnah dan spekulasi.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.

Fizo dan Mawar bercerai talak satu kira-kira jam 10.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor, 10 Julai lalu.

Published by
Noraini Abd Wahab