Juri tetap rancangan hiburan Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Datuk Khatijah Ibrahim ada memberi komen beserta titipan kata nasihat sejurus Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris selesai membuat persembahan.
Khatijah yang duduk di kerusi juri tetap bersama Datuk Ramli MS menyifatkan mereka tidak tahu apa yang dilalui seseorang penyanyi itu dalam menempuhi fasa sebagai selebriti.
Noraniza telah menyampaikan lagu Hutang nyanyian asal kumpulan Floor88 dan Empat Dara duet bersama Aishah serta pusingan ‘battle’ bersama Ashira menerusi lagu EH yang dipopularkan oleh Zizi Kirana.
“Tadi ibu (Datuk Khatijah) ada tengok Ani (Noraniza) punya klip dan sebagainya. Pada ibu Ani, apa sahaja di luar sana jangan hiraukan.
“Ini kita punya karier, ini kita punya industri, orang yang tidak di atas pentas dia tidak tahu apa yang kita alami.
“Jadi ‘move on’ dan anda telah berikan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Datuk Syafinaz Selamat yang sekali lagi diundang sebagai juri jemputan pula menyifatkan persembahan daripada penyanyi Dikir Puteri itu lebih baik berbanding minggu sebelumnya.
“Malam ini Ani ‘balas dendam’ nampaknya. Jika minggu lepas kita nampak Ani ‘struggle’, akan tetapi pada malam ini, kita nampak Ani memang di dalam elemen Ani. Relak, enjoy memandang ini perupakan Ani punya ‘forte’ dan kita memang nampak kekuatannya di situ.
“Nilai estetika suara seseorang itu adalah berdasarkan kepada pendengaran masing-masing. Jadi pada saya, apabila anda berada di dalam elemen yang anda gemar dan suka, sudah tentu anda boleh mengeluarkan sisi terbaik..
“Faktanya juga, Ani sebagai seorang penyanyi yang berpengalaman, berdiri di pentas GV dan mempertaruhkan diri anda seorang pejuang muzik tradisional dan melakukan perkara-perkara yang anda lakukan, i ‘salute’ you for that,” katanya.
Noraniza pada masa sama turut meminta Datuk Ramli MS untuk memberikan reaksi terhadap persembahannya pada malam itu.
Menduduki tempat keempat keseluruhan di GV7 malam tadi, Noraniza Idris sebelum ini menerima reaksi pelbagai netizen menerusi persembahannya di pentas sama, minggu lalu.
Meski ada yang memberikan kritikan, namun ada peminat yang turut memberikan sokongan serta kata semangat buat artis senior berkenaan.