“Orang Yang Tidak Suka Menari Pun Akan Menari Bila Mendengar Lagu Ini,” – Empat Gadis Cantik Gelarkan Diri Mereka DOLLA, Pertaruh Single Pertama

Share

Awalnya, kumpulan wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai DOLLA, mulai memancing perhatian ramai selepas membuat persembahan penuh tenaga di Final #RapStarERA 2020.

Ditubuhkan pada awal tahun lalu, DOLLA terdiri daripada empat gadis cantik yang berbakat besar iaitu Sabronzo, Tabby, Syasya, dan Angel.

Tidak mahu persiakan bakat, mereka hadir mempertaruhkan single sulung, Make You Wanna yang dihasilkan Bryan B., iaitu komposer dan produser lagu yang terkenal dari Australia sementara lagu itu mendapat gubahan dari Zamaera, Bryan B, Shou Raion dan Luca Sickta.

Lagu tersebut merupakan sebuah lagu dengan unsur nakal dan seksi tentang keyakinan diri serta kekuatan seorang wanita.

Mesej yang ingin disampaikan adalah bagaimana keyakinan diri dan keberanian seorang wanita dalam membuktikan bahawa setiap manusia itu berharga dan berhak untuk dihormati.

Menerusi lagu yang rancak dengan melodi yang menarik ini, DOLLA berharap dapat ia mampu memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan wanita generasi baru di negara ini.

“Kami mahu menghala perhatian kepada kepentingan merasa yakin dan selesa dengan diri sendiri.  Wanita yang berkeyakinan tinggi akan lebih menyerlah dan menarik perhatian ramai pihak,” kata Syasya mewakili DOLLA.

Sementara itu, Sabrina menambah, single tersebut juga dapat membuatkan peminat untuk turut sama menari.

“Saya gembira kerana lagu ini menonjolkan kekuatan wanita.  Bukan saja sesuai dimainkan di radio tapi ‘Make You Wanna’ membuat kita terasa ingin menari.

“Orang yang tidak suka menari pun akan menari bila mendengar lagu ini,” jelasnya.

Make You Wanna terbitan dan edaran oleh Universal Music Malaysia dan Lion Music Group Malaysia boleh didengari di semua platform pengstriman termasuk Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Published by
MH