“Orang Yang Ubah Hidup Saya Jadi Lebih Baik, Dia Top 3,” – Pernah Jaga Ketika Hidap Bipolar, Faizal Tahir Dedah Peribadi Yasin Sulaiman

Share

Penyanyi dan pencipta lagu, Faizal Tahir mendedahkan sahabat baiknya yang juga merupakan penyanyi, Yasin Sulaiman merupakan antara individu yang paling banyak mengubah hidupnya ke arah yang lebih balik.

Menurut Faizal, dia dan Yasin sebenarnya merupakan bekas jiran di kondominium yang sama dan mereka juga sudah merancang untuk bertemu beberapa hari sebelum penyanyi tersebut ditahan.

“Saya cuba berhubung tapi tak dapat kerana telefonnya tiada bersamanya. Saya cuba hubungi peguamnya pula, mungkin mereka juga sibuk. Pada waktu seperti ini kawan-kawan memang perlukan sokongan.

“Kalau nak cerita mengenai betul atau salah, saya tak layak. Apa yang boleh saya katakan, Yasin merupakan seorang kawan atau manusia yang paling banyak mengubah hidup saya.

“Sebenarnya saya merancang untuk bertemu dengan dia beberapa hari sebelum insiden tersebut berlaku. Kemudian, dapat pula berita mengenai kes melibatkan dirinya.

“Apa yang saya cakap ini bukan kerana bias, kalau saya boleh senarai orang-orang yang mengubah hidup saya menjadi lebih baik, Yasin mungkin di top 3,” katanya kepada MH.

Faizal berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaru hasil kolaborasi bersama penganyi, Amira Othman menerusi lagu berjudul, Alah Bisa yang berlangsung di ibu kota pada Khamis.

Penyanyi lagu Sampai Syurga ini turut menambah, Yasin sememangnya memiliki keperibadian yang sangat baik dan banyak memberi impak yang mendalam buat kehidupannya.

“Saya banyak belajar mengenai kehidupan dan hal agama dengan dia. Pergi ke rumahnya saya akan belajar dan fahami maksud Al-Quran. Dia banyak memberi pengertian hidup buat saya.

“Bila jadi macam ni, saya pun sedih. Saya cakap secara jujur, demi Allah Yasin merupakan antara manusia paling baik saya pernah jumpa. Dia sangat suka memberi.

“Orang kalau jumpa dia buat pertama kali pun, mesti akan puji betapa baiknya dia. Hati dia bersih, tak pernah buruk sangka dan selalu tolong orang.

“Kalau orang kata Faizal dah lain sekarang, antara nama yang saya akan sebut adalah disebabkan Yasin,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Faizal juga turut memaklumkan dia merupakan antara individu bertanggungjawab yang menjaga Yasin ketika dia mengalami simptom bipolar pada tahun 2013.

“Saya pernah menjaga dia sewaktu dia mengalami bipolar sekitar tahun 2013. Dia tanpa segan silu berkongsi mengenai perkara tersebut.

“Nak kata susah untuk menjaga itu tidak tapi saya banyak berlajar perkara baru. Ia pengalaman berharga buat saya. Saya sangat sayang pada dia.

“Personalitinya akan berubah-ubah, jadi, saya kena banyak bersabar. Kalau tiba-tiba kena marah atau mood baik tiba-tiba bertukar, itu biasa. Hampir tiga bulan juga saya menjaga dia,” ujarnya lagi.

Mengikut pertuduhan, penyanyi popular dengan lagu Mimpi Laila yang berusia 47 tahun itu didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Utusan

Published by
Aizam Manaf