Baru sahaja dilancarkan, lagu Haruman Terindah nyanyian PU Lokman Naufal sudah trending di YouTube untuk kategori muzik dan menjadi pilihan lagu latar di TikTok.
Pastinya, kejayaan manis tersebut memberikan kelegaan kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan lagu berkenaan dan menganggap ini merupakan petanda positif kepada usaha yang sedang dilakukan ketika ini.
Bagi PU Lokman sendiri, dia masih terkejut dan tidak percaya lagu berkenaan boleh berada di kedudukan pertama carta trending selepas melancarkan semula lagu tersebut 7 hari yang lalu.
“Saya gembira dan bersyukur kerana peminat suka dengan Haruman Terindah. Mereka banyak meninggalkan komen positif dan menganggap apa yang kita lakukan sebagai satu usaha dakwah dalam hiburan.
“Dengan tema kasih sayang, bait-bait lirik lagu ini begitu dekat dengan pendengar. Saya bahagia apabila ramai yang tersentuh dengan lagu ini meskipun ada yang sudah mendengarnya sebelum ini lagi,” katanya bercerita.
Sebenarnya Haruman Terindah sudah pun dilancarkan pada 2020. Namun atas perbincangan dengan pihak pengurusan PU Lokman, mereka mahu merakamkan semula lagu berkenaan dengan susunan muzik yang lebih segar selain melancarkan lirik video baharu.
Pelbagai elemen baharu ditambah baik terutama susunan muzik supaya lagu berkenaan lebih catchy agar dapat menangkap halwa telinga peminat baharu yang belum mengenalinya.
“Sebenarnya pendengar juga antara sebab mengapa saya merakamkan semula lagu ini. Mereka masih suka dengan lagu ini dan mahu versi yang lebih catchy sesuai dengan peredaran masa.
“Jadi saya penuhi permintaan mereka dan tak sangka penerimaan luar biasa daripada semua pihak. Ini menunjukkan kita perlu melakukan usaha yang berterusan untuk kekal relevan,” kata pendakwah ini lagi.
Hakikat tersebut turut dizahirkan oleh Jaja Ishak selaku penerbit Haruman Terindah. Dia gembira dengan sambutan yang diberikan dan dalam masa yang sama mahu membuktikan sesebuah karya boleh kekal relevan sekiranya ada penambahbaikan dilakukan.
“Pada awalnya kita kurang yakin untuk merakamkan semula lagu ini kerana berpendapat adalah lebih wajar untuk merakamkan lagu baharu sahaja. Tapi apabila melihatkan trend di TikTok kecenderungan peminat menggunakan lagu ini, kita yakin dengan keputusan ini.
“Akhirnya lagu ini trending di YouTube dan turut mendapat sambutan di TikTok. Ini yang membuatkan saya yakin untuk terus melabur dalam mana-mana pembikinan karya kreatif dalam bidang muzik,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Jaja tidak menolak kemungkinan untuk terus mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan. Dia sendiri sebelum ini sudah menerbitkan beberapa lagu termasuklah Takdir nyanyian Aliff Iskandar, Teguh Mimpi (Lakaa Idris) dan beberapa karya lain lagi.
Tidak pernah meletakkan sebarang syarat khusus dalam mencari bakat baharu, Jaja yang juga merupakan penerbit drama yakin sesiapa sahaja boleh berjaya sekiranya mereka berusaha keras untuk mengejar mimpi.
“Saya hanya membantu mereka mencapai cita-cita. Kalau ada yang berminat untuk bekerjasama dengan saya, silakan tampil. Mana tahu kalian pula akan menjadi bintang besar masa hadapan,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini