Ibu kepada pelakon Que Haidar, Rahmah Hussein telah pergi mengadap Illahi selepas positif COVID-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kira-kira jam 1.20 pagi tadi.
Que Haidar berkata, dia terus pulang ke kampung apabila kakaknya menghubungi dan memaklumkan ibunya yang alami sakit dada.
“Pagi semalam, kakak menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan arwah ibu ketika itu. Arwah mak nazak dan mengadu sakit dada kepada kakak saya.
“Malah arwah ibu juga mengalami serangan jantung empat kali. Kali pertama, serangan itu terjadi di rumah adik saya di Pasir Gudang. Baki tiga kali serangan jantung itu di hospital.
“Saya pun segera pulang ke kampung seorang diri tanpa isteri dan anak kerana memikirkan arwah ibu masih kuat. Malah abang saya sendiri sempat memaklumkan jantungnya kembali stabil.
“Tapi Allah lebih menyayanginya,” kata Que yang sempat tiba di hospital berkenaan kira kira jam 6 petang.
Difahamkan sejak beberapa tahun lalu, arwah ibunya, 68, turut mempunyai sakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi.
Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar menambah, kali terakhir dia pulang ke kampung bertemu arwah ibunya sekitar Januari lalu.
“Kami sempat luangkan masa bersama. Saya bawanya keluar berjalan dan menikmati Asam Pedas kegemaran dia. Saya fikir nak balik bulan ini untuk curi masa bersamanya.
“Kebetulan saya ada kerja untuk mengarahkan telefilem sulung, Bahalol di Mersing, jadi alang-alang nak ‘spend’ masa lagi dengannya. Tapi kali ini, saya tak sempat meneruskan hasrat itu,” katanya.
Que memaklumkan isteri dan anak dalam perjalanan untuk bertemu dan memberikan penghormatan terakhir kepada arwah ibu.
Arwah meninggalkan 10 anak dan 27 cucu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Taib Andak, hari ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI