Atas prinsip meraikan keinginan serta cita rasa kaum di Malaysia khususnya, pemilik premis makanan popular, Pak Mat Western Cafe cawangan Pulau Pinang menawarkan menu nasi lemak dengan harga serendah RM0.90 sen.
Mencetuskan tular di media sosial dan bertemakan Citarasa Hotel, Harga Warong itu juga dilihat menyahut usaha kebajikan untuk semua pengguna khususnya golongan B40.
Ia dilihat sejajar dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, baru-baru ini, bertujuan memastikan golongan berkenaan khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Malah pelakon dan hos, Bell Ngasri turut terkejut dengan harga nasi lemak ditawarkan.
Menerusi video di muat naik, Bell yang terkenal dengan watak Barkoba yang dilakonkannya dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid mencuit hati melakonkan watak orang alim.
Di hujung lakonan drama sebabak, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri yang pada awal skeptikal dengan orang lain sama-sama mengajak mereka menikmati nasi lemak itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi PMW Group, Nurina Izz Zayani berkata, apa yang dicetuskan juga sebagai menangani krisis ekonomi. Terutamanya susulan ekonomi dunia pada tahun ini yang diramal dan diancam kemelesatan.
Dengan RM0.90 itu, pengunjung boleh menikmati bahagian nasi yang banyak, separuh biji telur rebus, ikan bilis dan sambal.
“Sejak dua bulan lalu kita melancarkan promosi nasi lemak serendah RM0.90 ada yang ingat ia hanya sekadar gimik. Tak kurang juga menuduh kami menipu kerana menawarkan harga tak masuk akal untuk menu berkenaan.
“Ada yang anggap, angka sen itu tak padan dengan hidangan nasi lemak kami sediakan. Namun semua itu bukan omong kosong, kerana sambutan diterima sampai kami tak menang tangan.
“Pelanggan yang datang pun daripada pelbagai kaum. Kita sedar selama ini, nasi lemak digemari bukan saja orang Melayu tetapi bangsa lain termasuk Cina, India serta mat salih,” katanya.
Menurut Nurina Izz lagi, pihak mereka cuba menyelami keperluan dan kehendak masyarakat yang saat ini berdepan kegetiran hidup.
“Ini antara usaha dan ihsan kami meraikan semua lapisan masyarakat untuk sama-sama menikmati rezeki menerusi nasi lemak. Ia juga lebih kepada cara kami bersedekah dengan berkongsi rezeki menerusi tawaran harga semurah ini.
“Lagipun kelompok masyarakat yang datang ke premis makanan kami berbeza latar belakang. Ada golongan pelajar yang mungkin selama ini mengikat perut tumpang gembira dengan tawaran harga itu.
“Ada juga golongan bekerja yang kesempitan atau kekurangan wang masih boleh menikmati menu ini dengan harga bajet. Kita tahu ekonomi sekarang, ada yang tengah bulan sudah sangkut nak bayar itu ini. Uruskan persekolahan anak lagi. Termasuklah golongan seperti ‘rider’ atau penghantar makanan,” katanya.
Tambahnya lagi, ia juga disifatkan sebagai sisi indah dan murni diserlahkan di premis makanan terbabit.
“Malah dengan bermodalkan RM2 saja, mereka boleh menikmati sarapan pagi dengan sempurna. Ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kami mahu semua datang ke premis tanpa fikir wujud kasta.
“Nikmatilah nasi lemak ini tanpa prejudis kerana ia dihasilkan dengan kasih sayang sentuhan air tangan orang lama. Tambahan pula, nasi lemak ini divariasikan dengan cita rasa tradisional dan barat sekali gus menjadikan ia gabungan orang Malaysia,” katanya lagi.
Selain nasi lemak promosi ditawarkan, premis ada menawarkan Nasi Lemak Lamb, Nasi Lemak Chicken Chop dan Nasi Lemak Meatball.
Selain Pulau Pinang, jenama berdaftar di bawah syarikat Pak Mat Western Sdn Bhd itu hingga kini premis makanan popular dan tular itu turut mempunyai cawangan utama di Johor.
Malah, premis makanan terbabit turut mempunyai ‘ekspress mart’ di Alor Setar dan Perak untuk pesanan makanan dalam talian atau bawa pulang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.