Bermula di platform Tik Tok, kini pempengaruh yang juga merupakan hafiz, Abd. Qawiy Abd Rashit bakal mempunyai program televisyen sendiri yang berjudul Qawiy Wuz Here terbitan stesen televisyen, TV Alhijrah
Menurut Qawiy, dia sendiri tidak menjangkakan konten cabaran ‘Terjah Mengaji’ yang kerap dilakukannya sebelum ini mampu melangkah jauh sehingga menarik perhatian pihak stesen televisyen.
“Alhamdulillah, saya sendiri tak jangka konten-konten saya mampu pergi jauh sehingga ke tahap ini. Pada mulanya, saya buat konten-konten ini hanya untuk diri sendiri.
“Namun, ternyata ramai rupanya pengguna-pengguna Tik Tok yang ingin mendekatkan diri dengan Al-Quran. Bila saya nampak situasi tersebut, saya terus hasilkan lebih banyak konten-konten berkaitan Al-Quran.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong terutama sekali kepada TV Alhijrah,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, cabaran ‘Terjah Mengaji’ ini juga telah membuka matanya untuk tidak menilai orang daripada luaran.
“Feedback yang saya dapat memang sangat baik. Ramai sebenarnya yang mahir membaca Al-Quran tapi malu.
“Hasil pemerhatian saya, kita tak boleh menilai orang daripada luaran. Ada yang pakai rantai, seluar pendek dan rambut perang tapi mereka boleh sahut cabaran saya.
“Ada yang kita ingat dia boleh baca tapi bila ditanya, tak boleh pula. Ia sememangnya membuka mata saya. Apa yang menariknya, kebanyakkan anak-anak muda kita memang sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran ini,” kongsinya lagi.
Pelajar Madrasah Darul Uloom Zakariyya, Johannesburg, Afrika Selatan ini berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media Program-Program Pembuka Tirai 2023 TV Al-Hijrah baru-baru ini.
Keluar daripada imej berjubah dan kopiah, Qawiy yang tampil dengan fesyen yang lebih santai mendedahkan pendekatannya itu membuatkan para anak muda lebih selesa untuk berinteraksi dengannya.
“Sejak dahulu lagi, saya memang minat fesyen terutama sekali ‘street wear’. Saya kekalkan imej tersebut dalam konten-konten saya. Malah, dengan imej sebegini, saya lagi mudah mendekati para remaja.
“Kalau saya berjubah, anak-anak muda akan menjauh kerana mereka seakan ‘takut’ dengan penampilan saya. Lagipun, sudah ramai para ustaz yang membawa imej berjubah ini. Mereka boleh kekal sebegitu.
“Cuma, kita perlukan juga individu-individu yang mudah dekat dengan anak-anak muda,” akhirinya.
Bakal bersiaran pada 28 Januari ini, Qawiy Wuz Here membawa penonton melawat destinasi pelancongan menarik di Lembah Klang sambil mempelajari dan menghafal surah pendek di dalam al-Quran.
Sebelum ini, nama Qawiy telah menarik perhatian ramai selepas mengadakan cabaran ‘Terjah Mengaji’ dan menghadiah RM50 kepada sesiapa sahaja yang mampu menyambung ayat Al-Quran yang dibacanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Qawiyaro